suria

Kekal atau keluar MIC: Subra tangguh umum pelan jangka panjang

KLANG: Bekas Timbalan Presiden MIC, Datuk S. Subramaniam menangguhkan pengumuman keputusan mengenai masa depan politiknya sehingga aduan tujuh calon bahawa wujudnya pelanggaran peraturan pemilihan 12 September didengar oleh Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC).

Beliau yang dijangkakan akan membuat keputusan penting pada pertemuan di sini malam kelmarin, mengambil pendirian terbaru itu ekoran tindakan sekumpulan calon membuat aduan kepada Jawatankuasa Pemilihan antara 18 dan 25 September lalu.

Beliau mahu menungggu keputusan terhadap aduan-aduan dibuat oleh mereka.

Walaupun kalah Subramaniam tidak membuat sebarang aduan kepada Jawatankuasa Pemilihan.

Perkara itu diumumkan oleh K.P. Samy yang bertindak sebagai salah seorang penceramah pada majlis yang diadakan di Dewan Hamzah di sini.

Samy merupakan orang kepercayaan Subramaniam lebih tiga dekad lamanya.

Samy juga merupakan salah seorang calon yang memenangi kerusi CWC pada pemilihan 12 September lalu.

Beliau adalah antara empat orang yang direstui Subramaniam memenangi kerusi CWC kali ini.

"Ini perkembangan terbaru. Subramaniam tidak akan bersara daripada politik tetapi beliau memutuskan untuk menangguhkan untuk mengumumkan keputusan beliau (mengenai masa depannya dalam politik)," kata beliau ketika berucap pada majlis itu.

Ketika ditemui wartawan kemudian, Samy menjelaskan, Subramaniam sedang mempertimbangkan tiga opsyen iaitu sama ada menyertai parti pembangkang, kekal bersama Barisan Nasional ataupun menubuhkan sebuah parti baru.

"Apa pun Subramaniam sudah memutuskan tidak akan menyertai Parti Makkal Sakti yang akan dilancarkan bulan depan.

"Datuk Subramaniam sudah memutuskan tidak akan menyertai Parti Makkal Sakti," kata beliau sambil menambah, Subramaniam akan menyertai sama ada BN atau Pakatan Rakyat - bergantung pada parti yang boleh melakukan yang terbaik untuk masyarakat India.

Katanya, Subramaniam dijangka akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak dalam tempoh seminggu dua ini.

Pada 14 September lalu, Subramaniam yang kalah buat kali kedua dalam pemilihan Timbalan Presiden MIC memberitahu mStar Online bahawa akan mengumumkan keputusan mengenai masa depan kerjaya politiknya menjelang awal bulan depan.

Subramaniam berkata, beliau sedang mempertingkan beberapa opsyen yang ada baginya buat masa sekarang.

"Biar saya fikirkan dan timbangkan kesemua opsyen yang ada... opsyen masih terbuka (untuk saya pertimbangkan). Dalam tempoh seminggu dua ini, saya akan mengumumkan keputusan saya," kata beliau.

"Banyak pihak bercakap, mencadangkan banyak perkara, saya akan memikirkan setiap perkara ini," katanya.

Artikel Lain