suria

Kerajaan pusat peruntukkan RM1.5 juta baiki rumah daif di Manek Urai

KUALA KRAI: Kerajaan pusat melalui kerjasama dengan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) memperuntukkan RM1.5 juta bantuan kepada penduduk miskin tegar di kawasan Manek Urai bagi membaiki kediaman daif mereka.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Mustapa Mohamed berkata peruntukan itu adalah untuk 500 buah rumah daif yang telah dikenal pasti di kawasan tersebut.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, berkata daripada jumlah itu sebanyak RM3,000 bagi setiap rumah daif yang dikenal pasti diperuntukkan untuk dibaiki.

"Kita akan bagi bantuan kepada mereka sama ada untuk baiki atap rumah atau lantai dan kesemua bantuan ini dijangka akan siap menjelang akhir tahun ini," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahkan kunci rumah kepada Salleh Mohamed, 51, di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Kampung Manek Urai di sini, hari ini.

Mengenai program PPRT, beliau berkata program itu diharap akan dapat mengurangkan beban penduduk di kawasan tersebut terutamanya bagi penduduk miskin tegar.

Mustapa berkata sebanyak 45 buah rumah telah siap dibina di bawah program PPRT kepada penduduk kawasan tersebut sehingga kini.

"Kita lihat kebanyakan rumah penduduk di kawasan Manek Urai ini daif dan tumpuan lebih akan diberikan untuk membantu mereka," katanya.

Sementara itu, penerima bantuan, Salleh berkata beliau bersyukur dengan bantuan yang diberikan oleh kerajaan pusat kerana keluarganya kini dapat memiliki dan mendiami kediaman yang selesa.

"Sejak mendirikan rumah tangga 21 tahun lalu, baru kali ini kami dapat memiliki rumah sendiri dan ini juga dianggap sebagai hadiah Aidilfitri kepada kami sekeluarga," katanya.

Beliau yang merupakan seorang penoreh getah dengan empat anak telah menunggu selama 15 tahun untuk bantuan kediaman daripada kerajaan negeri tetapi gagal dan impiannya menjadi kenyataan kini setelah beliau memohon kepada kerajaan pusat pada 2004.

Terdahulu, Mustapa menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya bersama rakyat di SK Manek Urai Baru.

Lebih 2,000 penduduk Manek Urai memeriahkan majlis tersebut dan turut dihadiri oleh Pengerusi Kesedar Datuk Ramzi Abdul Rahman serta bekas calon BN bagi pilihan raya kecil Manek Urai, Tuan Aziz Tuan Mat. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain