suria

Penubuhan Makkal Sakhti langkah baik - Tun Mahathir

Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak (kanan) bersalaman dengan mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika menghadiri rumah terbuka Aidilfitri bekas perdana menteri itu di Seri Kembangan di sini, hari ini. Turut hadir Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam (kiri). -Foto BERNAMA
Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak (kanan) bersalaman dengan mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika menghadiri rumah terbuka Aidilfitri bekas perdana menteri itu di Seri Kembangan di sini, hari ini. Turut hadir Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam (kiri). -Foto BERNAMA
Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak (kanan) bersalaman dengan mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika menghadiri rumah terbuka Aidilfitri bekas perdana menteri itu di Seri Kembangan di sini, hari ini. Turut hadir Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam (kiri). -Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan penubuhan parti Makkal Sakhti sebagai satu langkah yang baik memandangkan banyaknya sokongan bagi penubuhan parti baru itu. Beliau berkata penubuhannya juga perlu sebagai langkah mengekalkan sokongan kaum India terhadap kerajaan.

"Oleh kerana dilihat terdapat banyak sokongan bagi penubuhan parti ini, saya fikir ia adalah baik kerana kita (kerajaan) tidak mahu kehilangan sokongan kaum India," katanya kepada pemberita pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di kediamannya di sini, hari ini.

Parti Makkal Sakti Malaysia ditubuhkan oleh bekas pemimpin pertubuhan Barisan Bertindak HakHak Hindu (Hindraf) yang telah diharamkan tahun lalu.

Parti itu diumumkan penubuhannya Mei lepas, diterajui oleh bekas penyelaras kebangsaan Hindraf R.S Thanenthiran.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijadualkan melancarkan Parti Makkal Sakti Malaysia parti terbaru kaum India negara ini pada 10 Oktober ini di Taman Pameran Pertanian Malaysia, Serdang.

Ditanya sama ada penubuhan parti itu akan memberikan kesan terhadap pengaruh MIC selaku parti utama kaum India di negara ini, Dr Mahathir berkata,:"Saya fikir pengaruh MIC sudah semakin luntur".

Dalam pada itu ketika ditanya mengenai cadangan Presiden MIC Datuk Seri S.Samy Vellu untuk bercuti selama dua bulan daripada melaksanakan tugastugas sebagai Presiden parti, Dr Mahathir berkata tempoh itu tidak mencukupi.

"Ia patut dilanjutkan kepada kira-kira 20 tahun, dua bulan tidak cukup. "Dia tidak boleh...dia sudah duduk di situ (jadi presiden MIC) 30 tahun, jauh lebih lama dari saya. Saya 22 tahun pun sanggup letak jawatan (sedangkan) masa saya letak jawatan bukanlah orang benci sangat tapi saya letak jawatan. Selagi dia duduk di situ lagi lama, lagi orang benci," katanya. Dalam isu lain, Dr Mahathir mengulangi pendiriannya tidak bersetuju sekiranya Umno mencalonkan Ketua Umno Bahagian Teluk Kemang Tan Sri Isa Samad sebagai calon pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang pada 10 Oktober ini.

Beliau juga menyifatkan pihak yang mengemukakan saranan itu sebagai 'berpandangan singkat' dan hanya melihat kepentingan sendiri.

"Mereka amat berpandangan singkat, mereka hanya melihat kepentingan beliau (Isa) dan kepentingan bahagian itu tetapi bagaimana pula dengan kepentingan parti. Jika parti meletakkan calon yang tidak bersih dengan itu seluruh parti akan dikutuk," katanya.

Beliau berkata kesilapan seperti itu telahpun dilakukan ketika pilihan raya kecil Permatang Pasir apabila calon Barisan Nasional (BN) Rohaizat Othman dibelenggu pelbagai skandal termasuk isu pembatalan lesen guaman sivil beliau dan status perkahwinannya.

"Kita bukan semata-mata hendak menang. Kalau menang pun malu kerana orang ini tidak bersih, pemimpin kita orang yang tidak bersih.

"Kalau saya jadi Isa saya sendiri akan minta supaya jangan calonkan saya sebaliknya saya akan berusaha untuk bagi manamana calon yang dipilih dan berkempen untuk dia. Dengan itu nama Isa akan jadi cukup harum," katanya.

Dr Mahathir ketika diminta mengulas mengenai Ops Sikap ke-20 sempena Aidilfitri tahun ini mencadangkan supaya lesen pemandu yang melakukan kesalahan jalan raya digantung bagi memberi pengajaran kepada mereka.

Beliau juga mengakui kecewa dengan sikap kebanyakan pemandu di negara ini yang sering memandu dengan laju walaupun kurang cekap.

"Saya sudah berjalan di merata dunia tetapi tidak pernah tengok orang bawa kereta laju seperti di Malaysia ini dan mereka pun bukan cekap sangat tapi seolaholah tak boleh tunggu, semuanya nak cepat dan akhirnya accidentlah (kemalanganlah)," katanya.

Ops Sikap ke-20 yang bermula 13 September dan berakhir esok sehingga kini telah mencatatkan 222 kematian dengan penunggang dan pembonceng motosikal mendahului jumlah senarai kematian.

Terdahulu Dr Mahathir yang ditemani isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dilihat setia menanti kunjungan tetamu yang hadir dan berdiri hampir tiga jam serta menyambut ketibaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Najib yang tiba di kediaman Dr Mahathir kirakira pukul 12 tengah hari meluangkan masa untuk beramah mesra dan menjamu selera sebelum meninggalkan majlis kira-kira 45 minit kemudian.

Antara kenamaan lain yang turut dilihat memeriahkan majlis termasuk Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim dan isteri Datin Seri Masnah Rais, Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen, Menteri Besar Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Paduka Rohani Karim dan Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Noriah Kasnon. BERNAMA

Artikel Lain