suria

Lelaki Amerika cedera ditembak ketika cuba bantu mangsa ragut

KUALA LUMPUR: Niat seorang warga Amerika untuk membantu seorang wanita warga emas yang cuba diragut dua lelaki mengundang padah apabila dia cedera ditembak oleh salah seorang lelaki tersebut dalam kejadian berhampiran Plaza Mont Kiara, Damansara di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1 tengah hari tadi, Brian Earl Miller, 46, seorang pekerja kelab malam, cedera di bahu kiri.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata sebelum kejadian, mangsa cuba menolong wanita tersebut yang sedang bergelut dengan suspek.

"Mangsa memberanikan diri membantu wanita itu sehingga berlaku pergelutan antara mangsa dan suspek menyebabkan suspek bertindak melepaskan dua das tembakan ke arah mangsa, namun hanya satu das tembakan terkena bahu kiri mangsa menyebabkan mangsa rebah," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Panik dengan kejadian itu, keduadua suspek melarikan diri dengan menaiki motosikal. Ku berkata polis sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di tempat kejadian bagi mengenalpasti identiti suspek.

Mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan lanjut dan dilaporkan stabil. BERNAMA

Artikel Lain