suria

BN peka pembangunan di Sabah dan Sarawak - Shafie

KUALA PILAH: Kerajaan pusat pimpinan Barisan Nasional (BN) sememangnya peka dan tidak pernah memandang sepi pembangunan di Sabah dan Sarawak, khususnya kawasan pendalaman dan pinggir bandar.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata pembinaan jalan raya serta bekalan elektrik dan air membuktikan kerajaan sememangnya peka dan sentiasa berusaha memastikan rakyat mendapatkan kebajikan serta hak sama rata.

"Pelaksanaan projek berkenaan sememangnya telah dilaksanakan secara tersusun dan mengikur perancangan kementerian dan kita yakin ia akan siap sepenuhnya menjelang awal tahun depan," katanya kepada pemberita pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri peringkat Daerah Kuala Pilah 2009 anjuran Pejabat Parlimen Kuala Pilah dan Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Pilah di padang Stadium Mini Majlis Daerah Kuala Pilah, di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah yang juga anggota Parlimen Kuala Pilah Datuk Hasan Malek dan Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan.

Shafie berkata majlis rumah terbuka itu yang dihadiri ribuan pengunjung pelbagai kaum itu menepati kehendak pucuk pimpinan dalam menerapkan konsep d1Malaysia.

"Ini membuktikan konsep 1Malaysia mendapat tempat di kalangan masyarakat. Oleh itu, jadikan majlis seumpama ini sebagai landasan rakyat untuk bertemu dengan pemimpin dan merapatkan hubungan antara satu sama lain," katanya. BERNAMA

Artikel Lain