suria

A(H1N1): Tiada pembekuan cuti petugas kesihatan hadapi gelombang kedua

GERIK: Kementerian Kesihatan ketika ini tiada perancangan untuk membekukan cuti para petugasnya sebagai persiapan menghadapi gelombang kedua virus Influenza A (H1N1).

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata ini kerana pihak kementerian telahpun mewujudkan jadual tugasan terperinci untuk setiap petugas dalam persediaan berhadapan gelombang kedua wabak itu.

"Kita menangani wabak ini secara berpanjangan. Maka, kita tidak boleh bekukan cuti sewenangwenangnya... kita perlu mempunyai perancangan yang rapi dan berpanjangan.

"Oleh itu masalah cuti tidak timbul. Kita sentiasa bersedia," katanya kepada pemberita selepas melawat Klinik Kesihatan Ibu dan Anak di sini hari ini.

Beliau juga melahirkan keyakinan bahawa negara mampu menangani gelombang kedua H1N1 melalui usahasama semua pihak berkaitan.

"Kita sudah bersiap sedia untuk menghadapi apa jua kemungkinan, gelombang kedua ke... gelombang ketiga ke. Kita rasa selagi rakyat kita dan semua 'frontliners' (petugas barisan hadapan) diberi pengetahuan dan kemahiran yang secukupnya, kita dapat menangani wabak Influenza A (H1N1)," katanya.

Dalam perkembangan lain, Liow berkata kementeriannya mensasarkan untuk mengurangkan sebanyak 10 peratus kes demam denggi pada tahun ini berbanding tahun lepas.

Beliau berkata 49,000 kes demam denggi dicatatkan di seluruh negara pada tahun lepas manakala setakat ini sebanyak 30,500 kes berkenaan dicatatkan di seluruh negara pada tahun ini.

"Kematian akibat demam denggi setakat ini adalah 69 kematian berbanding 71 kematian bagi tempoh sama pada tahun lepas. Kita akan berusaha gigih untuk mengurangkan bilangan maut akibat demam denggi," katanya. Katanya Perak mencatatkan pengurangan sebanyak 6.3 peratus kes demam denggi setakat minggu ke37 ini iaitu sebanyak 2,462 kes berbanding 2,627 kes dalam tempoh serupa pada 2008.

"Tahun lepas Perak mencatatkan 10 kematian akibat demam denggi manakala pada tahun ini setakat sekarang hanya ada satu kes kematian akibat demam denggi di Perak," katanya. BERNAMA

Artikel Lain