suria

Temu bual Tee Keat: "Saya utamakan agenda rakyat'

DATUK Seri Ong Tee Keat ketika ditemu bual khas oleh Sunday Star di pejabatnya di Wisma MCA baru-baru ini.
DATUK Seri Ong Tee Keat ketika ditemu bual khas oleh Sunday Star di pejabatnya di Wisma MCA baru-baru ini.
DATUK Seri Ong Tee Keat ketika ditemu bual khas oleh Sunday Star di pejabatnya di Wisma MCA baru-baru ini.

BELIAU sudah memutuskan pendiriannya. Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat menyatakan dengan jelas kepada 2,377 perwakilan bahawa beliau tidak akan kekal dalam jawatan itu jika timbalannya yang dipecat bulan lalu, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek dikembalikan jawatannya pada Perhimpunan Agung Khas (EGM) 10 Oktober ini. Dalam temu bual kira-kira sejam bersama wartawan Sunday Star baru-baru ini, Ong menyentuh pelbagai isu berkaitan dengan parti, projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) dan keluarganya.

Berikut adalah sedutan temu bual dengan Ong yang disiarkan oleh Sunday Star 20 September lalu.

SOALAN: Datuk Seri sudah memegang jawatan Presiden (MCA) hampir setahun. Tenaga Datuk Seri dikatakan hilang disebabkan isu Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) dan Chua Soi Lek (CSL). Persepsi ialah Datuk Seri tidak berupaya untuk memfokus pada hal-hal yang lain. Apakah Datuk Seri bersetuju dengan pandangan ini?

ONG: Adalah tidak betul untuk mengatakan hanya PKFZ dan CSL yang menghilangkan tenaga atau masa saya. Pada realitinya, saya memperuntukkan sebahagian masa saya untuk kerja-kerja parti, malah mendengar pandangan akar umbi sebelum EGM. Pada masa yang sama, kami juga bercakap tentang inisiatif-inisiatif susulan keputusan pilihan raya umum 8 Mac (2008); yang saya maksudkan bisnes (perkara penting). Saya mengadakan pertemuan dengan pasukan menteri dan timbalan menteri MCA setiap minggu pada mesyuarat pasca-Kabinet MCA, tambahan kepada mesyuarat Majlis Presiden dan Jawatankuasa Pusat.

Selain itu, saya juga menghadiri program-program parti seperti HOPE (Peluang-peluang Tinggi untuk Pendidikan Swasta) dan TRAIN (Sumber Teknikal dan Rangkaian Latihan). Saya akan mengadakan satu lagi pelancaran selepas ini. Ini adalah antara program yang telah membuahkan beberapa hasilan positif di peringkat awalan pelaksanaan dan saya perlu meletakkan lebih banyak usaha dalam soal ini.

Dalam politik, selain kerja rutin, apa yang lebih penting ialah memberikan buah fikiran yang bernas dan mengadakan sesi-sesi percambahan idea dengan pihak-pihak dari pelbagai lapisan masyarakat termasuk NGO, kumpulan profesional dan publik. Setakat ini, mereka yang mengikuti atucara saya berupaya untuk menyatakan tentang pertemuan-pertemuan yang telah saya adakan. Pertemuan-pertemuan seperti ini sudah cukup untuk mencerminkan bahawa bukan isu PKFZ dan CSL sahaja yang ada dalam agenda saya.

Dengan itu, berkaitan dengan isu PKFZ, saya harus mengakui bahawa saya telah bertindak sebagai minyak yang membakar sepanjang malam sehingga 2 pagi atau 3 pagi, selama enam bulan yang lalu. Saya perlu membaca dokumen-dokumen, menelitinya, lebih awal sebelum laporan audit dikeluarkan. Saya juga membaca pelbagai dokumen blog yang dihasilkan oleh pegawai-pegawai saya. Saya mengikutinya dengan dekat.

SOALAN: Bagaimana Datuk Seri kekal segar setiap hari dengan jadual yang begitu ketat?

ONG: Saya telah alami penurunan berat dengan ketara. Apa yang penting setiap hari adalah hari yang panjang bagi saya. Saya perlu kekal peka dan segar. Kadangkala segar merupakan istilah yang terlalu relatif. Ia bergantung pada beban kerja dan magnitud kerja yang dilakukan. Saya akan menggunakan waktu tidur yang ada dengan sebaik mungkin semata-mata untuk menikmati waktu tidur berkualiti. Saya tidak akan membenarkan fikiran mengganggu saya (apabila masuk tidur). Saya kekalkan waktu tidur kira-kira lima jam. Ini adalah waktu yang amat sedikit. Ketika berada dalam kereta dalam perjalanan, saya akan lena buat sementara waktu ataupun ketika berada di kapal terbang.

SOALAN: Adakah Datuk Seri masih mempunyai tugasan yang belum diselesaikan dalam siasatan berkaitan projek PKFZ? Apakah antara keutamaan?

ONG: Berkaitan dengan siasatan PKFZ yang sedang dikendalikan, saya ingin mengatakan bahawa setakat ini, apa yang belum selesai ialah pelan pemulihan. Saya telah menjanjikan pasukan panel tentang pelan pemulihan perniagaan. Mereka telah diberi masa untuk melihat kemungkinan-kemungkinan dan cadangan-cadangan yang mereka terima. Pada masa yang sama, permulaan pasukan petugas yang berkuasa tinggi, yang dipengerusikan oleh ketua setiasaha adalah penting dan tepat pada masanya untuk memulihkan projek PKFZ. Sebagaimana anda tahu, ini akan melibatkan kerjasama antara jabatan dan mungkin antara kementerian. Sebagai contoh, apabila kita bercakap mengenai penstrukuran pinjaman MOF (Kementerian Kewangan), ia sudah pasti melibatkan MOF. Oleh itu, ia amat tepat pada masanya.

Saya ingin berkongsi dengan anda beberapa pemantauan saya mengenai PKFZ. Keutamaan sekarang ialah untuk memastikan wang sebanyak RM1.5 bilion yang dikenali pasti oleh pasukan petugas khas PKA sebagai jumlah bayaran hasil caj melampau atau penipuan tuntutan oleh kontraktor-kontrator yang membuat tuntutan, harus diperoleh balik dan setiap orang bersetuju dengannya. Ia hak kita untuk mendapatkan balik wang berkenaan dan orang ramai ingin melihat ada kepala yang bergolek dalam soal ini. Ia tidak boleh menjadi kes jenayah jika pihak-pihak yang melakukannya tidak dikenal pasti. Mereka harus dibawa ke muka pengadilan dan saya telah memberitahu pemimpin pembangkang di Dewan Rakyat bahawa Kementerian Pengangkutan tidak boleh memainkan peranan sebagai pendakwa raya, hakim dan polis. Pada masa yang sama, kami juga telah mengemukakan bukti kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan polis, dan kini tugas kita untuk terus bekerjasama dengan entiti-entiti yang berkaitan untuk memastikan keadilan dapat diketengahkan.

SOALAN: Dr. Chua menuduh Datuk Seri menghentam Umno dalam mesyuarat-mesyuarat tertutup. Apakah respons Datuk Seri?

ONG: Ini sesuatu yang pelik bagi saya kerana apabila saya perlu ke seluruh negara untuk mengadakan sesi taklimat secara tertutup khas untuk akar umbi, perwakilan dan bukan perwakilan... mereka mempunyai hak untuk mengemukakan soalan, untuk mengetahui tentang sesuatu isu. Adalah adil untuk memberikan maklumat terkini, malah yang berkaitan dengan isu-isu semasa - pemecatan CSL, saya teguh dengan kepercayaan saya bahawa adalah adil bagi kita untuk mengadakan perbincangan dari hati ke hati dengan ahli-ahli kita sendiri secara tertutup khususnya apabila ia berkaitan dengan masalah-masalah keluarga MCA. Mengapa kita melakukan tindakan yang dikatakan sebagai menghentam parti-parti kita. Saya tidak pernah melihat kehadiran Dr. Chua. Saya merasakan adalah tidak adil atau tidak sesuai bagi ahli politik seperti beliau yang sedia mengetahui apa yang tidak sesuai dan yang tidak beretika apabila membuat tuduhan berdasarkan maklumat khabar angin. Setahu saya ia adalah berdasarkan isu. Apa yang betul adalah betul. Apa yang salah adalah salah. Ia dengan sendirinya menjelaskan mengapa saya memilih untuk bercakap dengan akar umbi saya secara tertutup. Memberi satu contoh, apabila saya mengadakan perbincangan dari hati ke hati dengan mereka yang bukan merupakan orang parti seperti profesional atau segelintir profesion yang sama, mereka hendak menyatakan fikiran mereka. Ia berbeza daripada pertemuan bersifat 'dewan perbandaran'. Adalah wajar untuk memberi mereka peluang bagi menyatakan fikiran, atau meluahkan kekecewaan mereka, masalah mereka atau kebimbangan mereka, kadangkala ia boleh merisaukan ataupun kadangkala menyakitkan. Bagaimanapun ada baiknya untuk berbuat demikian dan saya tidak melihat apa-apa sebab mengapa kita harus menggunakan untuk menghentam pihak-pihak ketiga termasuk Umno ataupun sesiapa. Saya percaya pada penyelesaian masalah dan bukannya menjadi sebahagian daripada masalah.

SOALAN: Beliau juga mengatakan bahawa Datuk Seri tidak melakukan apa-apa sejak menjadi Presiden. Komen Datuk Seri?

ONG: Akhirnya, hasil yang diperoleh akan menceritakan segala-galanya. Tuduhan-tuduhan yang dibuat oleh beberapa parti yang mempunyai kepentingan dalam kepompong sendiri, yang saya samakan dengan burung unta yang memasukkan kepalanya dalam pasir. Ini kerana, anda sendiri boleh lihat dengan mudah... kita bergerak berlandaskan isu. Sebagai contoh program-program HOPE dan TRAIN, inisiatif terbaru yang kami wujudkan - inisiatif kebangsaan bagi membantu mereka yang berhadapan dengan masalah kewarganegaraan masing-masing. Bukannya hari ini saya kami melompat ke dalam kereta (menyelesaikan isu). Sebenarnya kami melakukan perkara itu di seluruh negara. Malah kita ada pasukan petugas untuk membuat tindakan susulan. Sebagai tambahan kes-kes khusus melibatkan pasangan warga asing, kesemua ini memerlukan banyak soal penyelarasan dan kerja keras. Perkara-perkara seperti perundangan atau sesetengah dasar kerajaan, kami ada kajian dasar dan bukan sahaja kami memainkan peranan aktif, malah dalam kebanyakan keadaan kami datang dengan syor penyelesaian selepas bercakap dengan pelbagai kumpulan profesional dan sosial. Kami melakukannya dan sudah tentu apabila Dr. Chua tidak mahu terlibat bersama, apabila setiap orang dijemput sertai bersama.

Kadangkala walaupun beliau hadir, beliau hanya berada setengah jam. Dengan itu pun orang membuat spekulasi; apabila anda tinggalkan di pertengahan jalan (mesyuarat), orang mula bertanya apa sudah jadi? Bagaimanapun dalam mesyuarat Majlis Presiden dan Jawatankuasa Pusat, sebagai contoh, apabila anda menjadi sebahagian daripada pasukan dan anda membuat keputusan kolektif selepas berbahas; dalam kebanyakan masa, sesetengah input beliau diterima. Kami bersetuju dengan ketidakpersetujuan, ini yang dinamakan sebagai proses membuat keputusan. Selepas mencapai kata sepakat, beliau akan memilih untuk bercakap lain pada sidang media sendirinya. Saya merasakan sedikit sebanyak ataupun lebih tepat tindakan ini membangkitkan kemarahan anggota Jawatankuasa Pusat dan Majlis Presiden yang lain.

SOALAN: Datuk Seri telah meletakkan soal moral pada tahap yang tinggi dalam agenda Datuk Seri. Mengapa nilai ini sangat penting bagi Datuk Seri sedangkan amalan berkompromi dilakukan dalam politik?

ONG: Bagi saya, saya seorang yang bergerak atas landasan prinsip, malah ketika saya masih merupakan seorang yang biasa sebelum naiki tangga politik sejak dari peringkat awal saya menjadi jurutera. Saya dibesarkan dalam persekitaran yang sukar dan saya dididik dengan fundamental dan prinsip-prinsip asas bahawa apabila anda berkompromi prinsip anda, ia akan mensia-siakan keseluruhan tujuan anda menjawat kedudukan awam. Ia merupakan prinsip pertama diingatkan oleh mendiang ibu saya, bekas guru saya yang memantau dan membimbing saya. Bagaimanapun bukan niat saya untuk memainkan peranan sebagai polis moral. Untuk mengatakan saya memainkan peranan sebagai polis moral, saya ingat ia tidak relevan sama sekali. Hakikatnya, sebelum pemilihan parti tahun lalu, saya ditanya mengenai skandal seks Dr. Chua. Apa yang saya lakukan ialah memberikan komen dari segi prinsip moral secara umum menyentuh pemegang jawatan awam. Saya memang menjangkakan bahawa ia akan menyentuh perasaan beliau. Tapi sebenarnya saya tidak mahu memberi komen sama sekali berhubung isu tersebut. Saya percaya pada pegangan prinsip umum dan tidak merujuk kepada soal individu.

RESOLUSI EGM DAN IMPLIKASI

Lima resolusi yang akan dipertimbangkan ialah:

- Undi tidak percaya terhadap Ong;

- Membatalkan keputusan Majlis Presiden yang memecat Dr. Chua;

- Mengembalikan kedudukan Dr. Chua sebagai Timbalan Presiden parti;

- Membatalkan sebarang pelantikan termasuk Timbalan Presiden yang diputuskan sebelum EGM; dan

- Tiada tindakan disiplin akan diambil terhadap mereka yang menuntut diadakan EGM

SOALAN: Apakah implikasi lima resolusi yang telah diketengahkan?

ONG: Dua resolusi pertama, beberapa perwakilan memberikan maklum balas bahawa apabila mereka menandatangani petisyen untuk EGM, mereka dimaklumkan bahawa Dr. Chua hanya mahu dikembalikan kedudukan sebagai ahli dan bersara sebagai ahli biasa. Beliau tidak memaklumkan undi tidak percaya. Itu yang ahli akar umbi memberitahu saya - malah malam tadi juga ketika saya mengadakan kempen. Resolusi pertama, undi tidak percaya, sebaik saja majoriti mudah diputuskan, saya tiada pilihan kecuali keluar dan meletakkan jawatan. Jika sesiapa berhujah bahawa saya tidak perlu melakukan sedemikian, bahawa majoriti undi dua pertiga diperlukan untuk memaksa saya berhenti, saya merasakan itu satu penipuan besar.

Mengenai Resolusi Kedua, keputusan mengembalikan Dr. Chua, kita sedia maklum bahawa Majlis Presiden telah membuat keputusan secara kolektif pada 26 Ogos dengan memperakui syor Lembaga Disiplin untuk memecat Dr. Chua. Jika beliau dikembalikan kedudukannya dengan majoriti mudah, ia sama seperti menyatakan undi tidak percaya terhadap Majlis Presiden secara amanya. Keputusan adalah jelas. Jika ini berlaku, atas prinsip demokrasi, keseluruhan pasukan (Majlis Presiden) perlu pergi, seluruh Majlis Presiden memandangkan ini merupakan keputusan kolektif dan bukannya keputusan satu orang.

Saya tidak memaksa sesiapa untuk berbuat demikian. Sesiapa yang patuh pada peraturan pertarungan atas nama demokrasi, ini adalah hasilan-hasilan yang tidak dapat dielakkan.

Resolusi Ketiga, untuk mengembalikan kedudukan CSL sebagai Timbalan Presiden hanya relevan jika dan hanya jika, beliau dikembalikan kedudukannya sebagai ahli parti terlebih dahulu. Anda tidak boleh mengembalikan kedudukannya sebagai Timbalan Presiden sebelum anda dikembalikan kedudukan sebagai ahli. Kedua-duanya saling melilit.

Resolusi keempat dan kelima bersifat akademik dan mereka membuat andaian semata-mata. Tidak pernah ada, sebelum mana-mana EGM diadakan, anda dibolehkan membuat resolusi-resolusi yang bersifat andaian. Saya tidak bertindak keras terhadap mana-mana pihak. Saya melihat ia sebagai urusan penting apabila saya membolehkan EGM diadakan... itu saja. Anda mahukan EGM, baik, saya mengadakannya.

SOALAN: Bagaimana, jika tiada majoriti mudah diperoleh untuk Resolusi Pertama, tetapi perwakilan masih mahu membatalkan keputusan Majlis Presiden bagi kembalikan Dr. Chua?

ONG: Apabila anda mengatasi keputusan Majlis Presiden, Majlis Presiden termasuk saya sebagai ketua majlis ini, kesemua harus pergi.

SOALAN: Meskipun tiada undi majoriti mudah bagi Resolusi Pertama?

ONG: Ya! Saya bukan mahu cuba membuat tafsiran dalam bentuk sedemikian bahawa saya berniat untuk membuat ugutan. Mengapa harus saya bertindak sedemikian? Saya hanya mentafsirkan senario daripada amalan demokrasi yang biasa. Ia bukan standard OTK.

SOALAN: Bagaimana jika perwakilan mahu beliau (Dr. Chua) kembali dan tidak mahu anda Datuk Seri meletakkan jawatan?

ONG: Mereka perlu membuat satu pilihan. Sama ada ini atau itu. Akhbar Sin Chew Daily dan China Press melaporkan empat kemungkinan. Mereka berhak untuk menyatakan pandangan mereka. Saya ingin melihat masyarakat umum mengetahui tentang demokrasi publik.

SOALAN: Bagaimana jika perwakilan menyokong keputusan Majlis Presiden tetapi mereka mahukan beliau sebagai ahli?

ONG: Baik, anda kena kembali kepada resolusi. Kami tidak merangka resolusi. Ini adalah resolusi beliau. Pada masa yang sama, beliau diberikan tempoh sehingga 16 September untuk merayu. Apabila anda tidak merayu kepada Jawatankuasa Pusat berhubung urusan disiplin, kes itu dianggap sudah selesai. Dalam hal ini, kami masih melayani resolusi-resolusi yang disyorkan oleh mereka yang mengemukakan petisyen untuk diadakan EGM. Sekarang, adalah jelas bahawa pelan permainan mereka bukan untuk mengembalikan kedudukannya tetapi mahu menyingkirkan saya. Dalam beberapa situasi dan malam tadi di Kuala Terengganu, akar umbi berminat untuk mengetahui sama ada saya akan diundi keluar dan beliau dikembalikan, apakah senarionya? Ada yang memberikan jawapan mereka sendiri dengan mengatakan bahawa, akhirnya apabila jawatan presiden kosong ia akan diisi oleh timbalannya dengan segera, bukan sebagai pemangku presiden, tetapi presiden berkuasa penuh. Mereka cuba membuat gambaran sedemikian dengan melihat pada kesemua resolusi.

SOALAN: Bagaimana jika mereka menyatakan undi tidak percaya terhadap Datuk Seri sebagaimana dalam Resolusi Satu tetapi mereka tidak mahu CSL kembali semula?

ONG: Itu adalah satu senario yang lain. Pada hakikatnya ia satu kemungkinan apabila berurusan dengan masalah-masalah matematik. Perlembagaan parti tidak boleh berkata apa-apa jika orang nombor satu dan nombor dua perlu pergi; ia hanya mengatakan nombor dua akan mengisi tempat nombor satu. Jawatankuasa Kerja perlu mengadakan pertemuan dan memainkan peranan untuk memilih seorang presiden. Jika boleh saya mahu berkongsi pandangan - hanya pihak yang mempromosikan satu bentuk pemikiran baru. Kedua-dua OTK dan CSL perlu pergi pada masa yang sama. Mereka minta saya memberikan respons; saya simpan respons saya pada ketika itu. Hari ini, saya perlu mengatakan sesuatu. Pertamanya, apabila anda mahu seseorang itu pergi, anda mesti mempunyai alasan yang kukuh. Hanya kerana perselisihan faham antara OTK dan CSL anda mahu kedua-duanya pergi? Saya tidak ada skandal seks ataupun terlibat dalam apa-apa kegiatan tidak bermoral atau tidak betul. Malah, apabila tuduhan liar dibuat terhadap saya berhubung pemberian wang politik RM10 juta, saya membuat laporan polis dan SPRM. Ia disusuli dengan tindakan saman. Saya harus diberikan peluang yang sama untuk membersihkan nama saya.

SOALAN: Mengapa Datuk Seri menggerakkan isu PKFZ dan Chua ke satu tahap sekarang ini? Ada pihak mempersoalkan sama ada ia berbaloi?

ONG: Saya tidak menyesal dengan tindakan saya berhubung soal PKFZ; apabila saya melihat pada insiden-insiden terbaru yang menyusul isu PKFZ, saya sedar akan laluan bahaya. PKFZ adalah satu risiko yang perlu saya ambil memandangkan saya mengutamakan agenda rakyat. Pada hari pertama saya meletakkan kaki saya di kawasan PKFZ, awal Mei tahun lalu, saya berjanji untuk menjalankan siasatan bebas dan terperinci. Saya amat yakin bahawa saya harus dipandu oleh hati nurani saya dalam isu ini dan ia melibatkan wang rakyat. Mereka mempunyai hak untuk mengetahui dan mendapatkan balik wang mereka jika tuntutan menipu telah dibuat.

Berhubung kes CSL, bagi saya, tiada agenda peribadi atau permusuhan peribadi. Isunya tidak dicetuskan oleh saya. Skandal seks, DVD, kesemuanya terjadi sebelum saya dipilih sebagai Presiden MCA.

Beliau mendakwa bahawa beliau dipilih oleh perwakilan. Jangan lupa, saya juga dipilih secara popular oleh perwakilan, sebagimana anggota Jawatankuasa Pusat dan Majlis Presiden. Apabila keputusan dibuat untuk memperakui syor Lembaga Disiplin untuk memecat beliau, ia adalah keputusan kolektif. Secara umumnya, saya berhadapan dengan tugas yang amat berat untuk memperkukuhkan parti ekoran keputusan pilihan raya umum tahun lalu. Sama ada kita melakukan perubahan dan pembaharuan atau kita berhadapan dengan serangan hebat dalam pilihan raya umum akan datang. Ini yang saya selalu percaya. Sejak zaman kanak-kanak, ini sentiasa menjadi prinsip saya.

KELUARGA, ANCAMAN DAN SMS

SOALAN: Terdapat begitu banyak ugutan sejak Datuk Seri bercakap mengenainya? Adakah anggota keluarga Datuk risau dengan ugutan-ugutan ini?

ONG: Ugutan ada dalam pelbagai bentuk, selain usaha memburuk-burukkan nama saya yang sudah menjadi perkara seharian. Mesej dalam bentuk teks, memburuk-burukkan nama, semua ini saya boleh bertolak ansur. Saya tidak kisah dengannya; saya bukan orangnya menangis kerana perkara-perkara ini. Saya bukannya memilih untuk membiarkan atau sependapat dengan tindakan seperti ini, tetapi bagi saya ia sesuatu yang tidak beretika, tidak perlu dan tidak patut tetapi saya sudah belajar untuk lalui keadaan-keadaan ini.

SOALAN: Adakah Datuk Seri masih menerima SMS yang mencerca sekarang?

ONG: Jumlah SMS mencerca diatasi oleh mesej dan emel daripada pelbagai tempat, bukan saja daripada anggota MCA, tetapi juga rakyat Malaysia bukan masyarakat Cina; orang ramai daripada semua lapisan masyarakat termasuk yang beragama Kristian, Buddha dan malah rakan-rakan beragama Islam; mereka mengatakan bahawa mereka berdoa untuk saya.

SOALAN: Adakah anggota keluarga Datuk Seri bimbang dengan ugutan-ugutan ini?

ONG: Saya kesian dengan mereka atas kejadian-kejadian tidak patut berlaku ini. Isteri saya dan tiga anak perempuan saya terpaksa melalui situasi politik seperti ini. Kemungkinan ini adalah harga yang perlu saya bayar. Pernah sekali anak perempuan saya mengatakan kepada saya: "bukan sesuatu yang senang untuk menjadi anak perempuan saya."

SOALAN: Bagaimana Datuk Seri menjawabnya?

ONG: Saya memberitahu dia bahawa ini adalah laluan yang saya perlu ambil dan maafkan kerana menyebabkan suasana tidak selesa buat mereka. Tetapi atas nama keadilan, saya perlu meneruskan laluan saya dan apabila saya memutuskan untuk melakukannya, sesiapa yang waras akan dapat melihat bahawa tiada keuntungan peribadi. Apa yang boleh saya peroleh daripada ini semua? Pihak yang menentang saya mengatakan bahawa saya mahu menjadi hero. Hero apa? Hero yang mati? Saya adalah Presiden MCA dan salah seorang menteri kerajaan persekutuan. Jika anda mengatakan bahawa saya mahu menjadi hero, anda hendak cuba mengatakan bahawa saya mahu naiki lagi tangga? Ke mana saya boleh pergi? Itu adalah sesuatu yang tidak masuk akal.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain