suria

Seorang lelaki ditahan dengan pelbagai barangan kemas dicuri

BESUT: Polis menemui semula sejumlah barangan kemas dan telefon bimbit yang dianggar bernilai RM30,000 yang sebelum ini dilaporkan hilang dari rumah seorang peniaga ikan di Kampung Jirat Cina, Kuala Besut dengan tertangkapnya seorang lelaki pagi ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah, DSP Roslan Hasan berkata lelaki berusia 21 tahun itu, ditahan di rumahnya di Kampung Jalan Pantai Kuala Besut kirakira pukul 6 pagi tadi oleh pasukan Unit Tindakan Cepat yang diketuai Insp Zuraidi Ismail.

"Antara barang kemas yang ditemui semula ialah empat utas rantai emas, dua utas gelang emas, dua utas gelang kaki emas, dua pasang subang emas, tiga bentuk cincin dan sebentuk cincin perak serta sebuah telefon bimbit.

"Bagaimanapun wang tunai berjumlah RM2,000 yang turut hilang dalam kejadian pecah rumah tersebut tidak ditemui kerana dipercayai telah dibelanjakan suspek yang bekerja sebagai buruh itu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Roslan berkata, kesemua barang kemas dijumpai disimpan oleh suspek di tiga tempat berasingan di kawasan rumah tinggalnya iaitu di dalam baldi yang berisi beras, di dalam mesin basuh yang tidak digunakan lagi dan di dalam satu tin cat kosong yang diletakkan di para atas rumah.

Hasil pemeriksaan di dalam rumah yang turut didiami oleh emak dan abang suspek itu juga, polis menemui satu straw mengandungi tiga biji pil kuda berwarna merah yang dipercayai untuk kegunaan suspek yang merupakan penagih dadah.

Beliau ditahan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah masuk bangunan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksima tujuh tahun.

Pada 19 September lalu, seorang peniaga ikan kerugian hampir RM32,000 setelah kehilangan pelbagai barangan kemas, telefon bimbit dan wang tunai akibat rumahnya di Kampung Jirat Cina, Kuala Besut dipecah masuk. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain