suria

Nasib politik Murugiah diketahui dalam 2 bulan

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk T. Murugiah yang dipecat daripada Parti Progresif Penduduk (PPP) Mei lalu, dijangka mengetahui hala tuju masa depan politiknya dalam tempoh dua bulan lagi.

Ketika ditemui wartawan selepas mengadakan mesyuarat Kelab Penyokong Barisan Nasional (BN) yang diterajuinya di sini petang ini, Murugiah berkata, beliau telah diminta oleh pucuk kepimpinan perikatan itu minggu lalu agar "bersabar selama dua bulan lagi."

"Apa-apa keputusan yang dibuat oleh pucuk kepimpinan dalam tempoh dua bulan ini, saya akan akur, penyokong-penyokong saya akan patuh.

"Setakat ini belum ada apa-apa keputusan, kalau saya diberikan nasihat, saya akan patuh apa jua nasihat kepimpinan BN," kata beliau.

Bakal keputusan itu dijangka menentukan sama ada Murugiah akan kekal 'berjuang' bersama PPP, menubuhkan sebuah parti baru ataupun menyertai mana-mana-mana parti.

Malah ia juga dijangka menentukan kedudukan beliau sebagai timbalan menteri.

Kata Murugiah, opsyen beliau ialah berteduh di bawah sebuah parti pelbagai kaum.

"Ini bukan soal saya seorang tetapi 157,000 pengikut saya, yang terdiri daripada ahli pelbagai kaum," katanya.

Justeru jelas beliau, tindakan susulan beliau akan bergantung pada nasihat pucuk kepimpinan BN kelak.

Bagaimanapun Murugiah enggan menyatakan nama pemimpin yang beliau adakan perbincangan minggu lalu.

"Itu rahsia. Saya tidak mahu mengatakan siapa saya bertemu minggu lalu. Tapi saya telah dinasihatkan agar menunggu dua bulan lagi.

"Kami sudah menunggu selama lima bulan, kami akan menanti nasihat susulan daripada pucuk kepimpinan," katanya lagi.

Bagaimanapun katanya, kelab itu yang bertemu hari ini berharap pucuk kepimpinan akan membuat keputusan lebih awal, bukannya menunggu selama dua bulan lagi.

"Ini harapan penyokong-penyokong saya pada hari ini," katanya lagi.

Pada Mei lalu, kumpulan penyokong Murugiah memilih beliau sebagai Presiden baru parti itu menerusi Mesyuarat Agung Tahunan Tergempar (EGM).

Malah, EGM itu juga melucutkan Datuk M. Kayveas sebagai Presiden PPP.

Pada 9 Mei lalu, Murugiah dipecat daripada PPP kerana didakwa terlibat dengan politik wang.

Bagaimanapun pada Jun lalu, Pendaftar Pertubuhan Malaysia memaklumkan bahawa Datuk M. Kayveas masih Presiden PPP yang sah.

Ketika ditanya sama ada beliau akan menyertai Parti Makkal Sakti Malaysia, parti pimpinan bekas pemimpin Hindraf, yang akan dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak 10 Oktober ini, Murugiah:

"Saya kena tunggu keputusan pucuk kepimpinan BN dulu... saya kena terima arahan lanjut daripada kepimpinan atasan BN."

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain