suria

Dua penjenayah dipercayai terlibat dalam rompakan kedai emas, ditembak mati

KUALA LUMPUR: Dua lelaki, dipercayai terlibat dalam kes rompakan kedai emas di Cheras Isnin lepas, ditembak mati oleh polis dalam satu kejadian berbalas tembakan di sebuah hotel bajet di Jalan Jasmin, Kajang di sini petang ini.

Polis turut merampas dua pucuk pistol jenis Smith & Wesson berukuran 9mm dan .38mm yang digunakan oleh kedua-dua suspek itu, serta sebuah Honda Civic, yang dipercayai dicuri di Kepong pada Ahad lepas, kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah kepada pemberita di tempat kejadian.

Beliau berkata dalam kejadian pada kira-kira pukul 2.30 petang itu, polis telah menyerbu masuk ke dalam sebuah bilik di hotel itu yang menempatkan kedua-dua lelaki yang berumur 29 dan 43 tahun itu.

Kedua-dua lelaki itu melepaskan dua das tembakan ke arah pihak polis dari unit D9, Jabatan Siasatan Jenayah Berat, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.

Kedua-dua suspek ini adalah antara tiga yang dikehendaki polis kerana terlibat dalam kejadian rompakan di kedai emas tersebut, katanya.

Pada Isnin lepas kira-kira pukul 7.30 malam, tiga perompak dengan dua daripada mereka bersenjatakan pistol berjaya melarikan sejumlah barang kemas bernilai hampir RM150,000 dari sebuah kedai emas di sebuah pasar raya di Taman Cannaught, Cheras.

Ku berkata polis sedang mengesan seorang lagi suspek yang masih bebas.

Mengenai kejadian hari ini, Ku berkata polis mendapat maklumat bahawa kedua-dua mereka telah menginap di hotel itu sejak Ahad lepas.

"Suspek yang berumur 29 tahun itu mempunyai enam rekod jenayah iaitu berkaitan dengan kes dadah, curi dan samun, manakala rakannya mempunyai empat rekod jenayah yang melibatkan kes curi, dadah dan samun.

"Kita tidak menolak kemungkinan hasil rompakan mereka telah dijual kepada pihak tertentu dan suspek-suspek terbabit kini menunggu bayaran daripada hasil jualan barang kemas berkenaan," katanya.

Mayat kedua-dua suspek dihantar ke Hospital Kajang untuk bedah siasat. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain