suria

Polis tahan pelajar jadi pengedar pil kuda

BESUT: Seorang pelajar Tingkatan Enam Rendah sebuah sekolah menengah di sini ditahan polis petang semalam di sebuah rumah di Kampung Paroh, Padang Luas dekat sini, dipercayai terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah.

Timbalan Ketua Polis Daerah Besut DSP Roslan Hasan berkata pelajar yang tinggal bersama dengan abang, emak serta datuknya itu ditahan setelah polis menemui sebanyak 188 biji pil kuda selepas menggeledah rumah itu kira-kira pukul 2 petang semalam.

"Bertindak atas maklumat, polis membuat serbuan ke rumah yang didiami pelajar itu dan menjumpai dadah berkenaan disimpan di dalam biliknya.

"Polis menemui pil-pil kuda berkenaan disimpan oleh suspek di beberapa tempat termasuk di dalam poket baju, di celah lipatan pakaiannya dan juga disimpan di dalam bungkusan kertas tisu.

Siasatan awal mendapati, pelajar terbabit telah tiga bulan menjalankan aktiviti itu dengan mendapat bekalan dari Kelantan.

Beliau percaya dengan penahanan itu, beberapa lagi individu yang disyaki terlibat dengan kegiatan berkenaan akan ditahan tidak lama lagi.

Polis, katanya menahan reman pelajar itu selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Jika sabit kesalahan, pelajar terbabit boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang daripada dua tahun dan tidak melebihi daripada lima tahun atau sebatan tidak kurang daripada tiga sebatan atau tidak melebihi daripada sembilan sebatan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain