suria

Polis tahan tujuh orang termasuk dua wanita bantu siasatan kes culik

SUNGAI PETANI: Polis menahan tujuh orang, termasuk dua wanita rakyat tempatan bagi membantu siasatan kes penculikan seorang rakyat Myanmar yang membabitkan wang tebusan RM24,000.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri ACP Zakaria Ahmad berkata kesemua suspek itu, lima rakyat tempatan termasuk dua wanita dan dua warga Myanmar, ditahan hasil serbuan di sebuah rumah di Pekan Sungai Lalang di sini.

"Bertindak atas maklumat awam, sepasukan polis yang diketuai oleh ASP Tay Boon Kong menyerbu sebuah rumah di Pekan Sungai Lalang pada 12 Sept lepas dan berjaya menahan tujuh suspek termasuk dua rakyat Myanmar dan dua wanita tempatan," kata beliau pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata setelah menahan dan menyiasat, mereka kemudiannya menunjukkan tempat mangsa culik disembunyikan iaitu dalam sebuah rumah kosong di bandar Sungai Petani di sini.

"Mangsa dikenali sebagai Aung Naing, berusia 30 tahun ditemui dalam keadaan diikat pada bahagian tangan dan kaki manakala tubuh badannya terdapat kesankesan penderaan fizikal", kata beliau.

Zakaria berkata polis juga menemui semula wang tebusan berjumlah RM23,850 yang diserahkan oleh adik mangsa sebelum ini.

Pada 7 Sept lepas, polis menerima aduan daripada adik mangsa mengenai kehilangan abangnya dan beliau kemudiannya menerima ugutan untuk membayar tebusan sebanyak RM24,000 jika mahu abangnya dibebaskan dengan selamat.

Katanya hasil siasatan awal mendapati lelaki terbabit telah diculik oleh dua rakyat Myanmar yang berpakat dengan dua rakyat tempatan termasuk sepasang suami isteri.

Beliau berkata pasangan suami isteri tempatan dan dua rakyat Myanmar terbabit akan dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan mengikut Seksyen 3(1) Akta Culik 1961 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati atau dipenjara seumur hidup.

Zakaria berkata tiga daripada tujuh suspek yang ditahan itu tidak didakwa tetapi akan dipanggil sebagai saksi siasatan kes itu," katanya. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain