suria

Laporan penderaan seksual wanita Penan dibincang Jumaat ini

KUCHING: Majlis Wanita Dan Keluarga Sarawak akan mengadakan satu mesyuarat khas pada Jummat ini untuk membincangkan laporan Jawatankuasa Bertindak Peringkat Kebangsaan (JBPK) mengenai dakwaan penderaan seksual terhadap wanita kaum Penan di Sarawak.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Sumber Manusia dan Latihan) Datin Fatimah Abdullah berkata perjumpaan khas itu di kediamannya di Taman Desa Guru akan membincangkan secara terperinci laporan yang dikeluarkan JBPK.

"Saya akan mempengerusikan mesyuarat ini. Majlis Wanita dan Keluarga Sarawak akan mengkaji dan membincangkan laporan ini secara profesional. Kita juga akan memberi cadangan kepada pihak berkuasa yang berkaitan untuk menangani isu penderaan seksual terhadap wanita kaum Penan ini.

"Selain itu, Majlis Wanita dan Keluarga Sarawak juga akan membincangkan masalah lain yang dihadapi kaum Penan di Sarawak. Kita perlu melakukannya dalam cara yang menyeluruh," katanya kepada pemberita pada majlis Rumah Terbuka Hari Raya di kediamannya di sini, semalam.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menubuhkan JBPK pada tahun lalu bagi menyiasat dakwaan eksploitasi seks terhadap wanita dan pelajar perempuan kaum Penan di Sarawak oleh pekerja syarikat pembalakan.

Laporan yang dikeluarkan Jawatankuasa Bertindak Kebangsaan merekodkan sekurangkurangnya lapan kes rogol serta cabul wanita dan perempuan Penan di bawah umur oleh pekerja pembalakan. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain