suria

Selcat perlu guna garis panduan dalam siasat pegawai kerajaan , kata Hasan

SHAH ALAM: Ahli exco Selangor Datuk Dr Hasan Mohamed Ali berkata beliau tidak menentang penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) bagi menyiasat dakwaan salah guna peruntukan kerajaan negeri.

Sebaliknya, Pesuruhjaya Pas negeri itu hanya mahu Selcat merangka garis panduan yang betul ketika menyiasat pegawai kerajaan negeri.

Katanya beberapa pegawai daerah, presiden majlis perbandaran dan pegawai kanan pentadbiran negeri di Selangor berpendapat mereka merasa terhina dengan cara Selcat menyoal mereka.

"Ramai daripada mereka mengadu bahawa mereka disoal atas keputusan yang dibuat oleh bekas ahli politik dan dilayan seperti budak sekolah," katanya kepada pemberita pada majlis rumah terbuka Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim sempena Aidilfitri dekat sini semalam.

"Saya ingin menegaskan bahawa saya menyokong penubuhan Selcat...tetapi ia perlu diperkemaskan kerana saya sedih dengan cara siasatan dijalankan berhubung petugas awam," katanya.

Semalam, sebuah akhbar berbahasa Malaysia memetik Pegawai Daerah Klang Bakhtiar Hussin sebagai berkata antara lain menuduh Selcat menimbulkan drama politik dan memalukannya dalam siasatan mengenai salah guna peruntukan kerajaan negeri sebelum pilihan raya umum tahun lepas serta meminta Hasan memperjuangkan nasibnya.

Pada 9 Sept lalu, Bahktiar dan pegawainya disoal mengenai peruntukan tahunan sebanyak RM4 juta bagi kawasan pilihan raya Barisan Nasional dalam daerahnya yang digunakan antara Januari dan Februari tahun lepas.

Hasan juga mengulangi bahawa tujuh anggota jawatankuasa Selcat perlu digantikan dengan sebuah jawatankuasa bebas tanpa sebarang kecenderungan politik.

"Semua ahli panel dalam Selcat adalah ahli politik. Adalah lebih baik jika anggota panel Selcat itu terdiri daripada bekas hakim dan bekas ketua setiausaha bagi meningkatkan kredibiliti jawatankuasa itu," katanya.

Memberi reaksi kepada tuntutan Hasan, Khalid berkata beliau akan memastikan tiada sesiapa terasa tersinggung tetapi menegaskan bahawa rakyat mempunyai hak untuk mengetahui hasil siasatan oleh Selcat.

"Kita tidak boleh melemahkan Selcat dengan sebuah kumpulan bebas kerana ia tidak terkandung dalam bidang rangka kerja persidangan dewan undangan negeri," katanya.

Pengerusi Selcat Teng Chang Kim berkata beliau terkejut bahawa Hasan tidak memahami amalan berparlimen.

"Dia (Hasan) harus memahami bahawa Selcat ditubuhkan dan diberi kuasa oleh persidangan dewan undangan negeri," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain