Rumah terbuka dapat kikis sikap prejudis kaum, kata Abdullah - Semasa | mStar

Rumah terbuka dapat kikis sikap prejudis kaum, kata Abdullah

KEPALA BATAS: Bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi hari ini mahu rakyat menggunakan budaya rumah terbuka Aidilfitri untuk mengeratkan persahabatan tanpa ada niat yang lain.

Beliau berpendapat tradisi rumah terbuka adalah petua yang boleh mengeratkan perpaduan dan mengkikiskan sikap prejudis antara masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

Abdullah, yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas, berkata demikian kepada pemberita pada majlis rumah terbukanya sempena Aidilfitri di Kompleks Budi Penyayang di sini semalam.

"Aidilfitri ini bukan untuk diraikan oleh umat Islam sahaja, sebenarnya ia sudah menjadi budaya bahawa Hari Raya ini disambut dan diraikan oleh seluruh rakyat Malaysia termasuk bukan beragama Islam," katanya.

"Memang jumlah tetamu kali tidak begitu ramai jika dibanding pada tahun-tahun lepas tetapi saya tetap berasa gembira selepas sekian lama tidak merayakan Raya pertama dengan sahabat-sahabat di sini," katanya.

Antara tetamu kenamaan yang mengunjungi rumah terbuka itu ialah Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Rahman Abbas dan isteri Toh Puan Majimor Shariff serta pemimpin parti politik tempatan.

Orang ramai mula membanjiri kompleks itu seawal pukul 9.30 pagi dan beratur panjang untuk bersalaman dengan Abdullah dan isteri, Tun Jeanne Abdullah, yang tiba pada pukul 11.40 pagi.

Pelbagai jenis juadah telah disediakan, antaranya nasi daging, sate, nasi impit dan lontong, mi goreng, laksa, rendang ayam dan daging, lemang dan ketupat dihidangkan untuk tetamu yang hadir. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Rumah terbuka Kabinet catat kejayaan besar

Artikel Berkaitan

Lebih Artikel

MMA cabar ego Zul Ariffin

'Rapunzel' tak potong rambut 28 tahun