suria

Pengawal warga emas mati dipukul empat penjenayah

BUKIT MERTAJAM: Seorang pengawal keselamatan warga emas meninggal dunia selepas dipukul oleh empat penjenayah dalam kejadian rompakan di sebuah kilang ikan di Tanjung Berembang, Nibong Tebal, pada awal pagi Hari Raya pertama.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata mangsa yang dikenali sebagai Abu Bakar dipercayai meninggal dunia pada kira-kira pukul 6.30 pagi selepas mengalami kecederaan di kepala.

Katanya, rakan mangsa seorang warga Myanmar dalam lingkungan usia 30an juga cedera parah dibelasah oleh kumpulan perompak itu yang melarikan sebuah lori penuh dengan muatan sarang burung bernilai RM100,000 dari kilang itu.

"Polis menemui semula lori itu kira-kira dua kilometer dari tempat kejadian," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah di sini, hari ini.

Tun Hisan berkata hasil siasatan lanjut, polis berjaya menahan salah seorang suspek berusia 26 tahun dalam satu serbuan di sebuah rumah di Taman Permai, Parit Buntar, Perak pada kira-kira pukul 11 pagi.

Siasatan pihak polis berjaya menemui pistol palsu dan topeng muka yang dipercayai digunakan oleh suspek untuk merompak, katanya.

Sementara itu, beliau berkata polis sedang mencari Lim Choon Beng, 26, dengan alamat terakhir di Mukim Dua Samagagah, Permatang Pauh, untuk membantu siasatan.

Pada Sabtu lepas rakan Lim yang berusia 38 tahun telah ditangkap dan kedua-dua mereka dipercayai terbabit dalam kegiatan samun dan ragut di sekitar daerah Seberang Perai.

"Dalam serbuan ke atas satu kenderaan Jenis Toyota Estima awal pagi Sabtu lalu di Taman Sejahtera, Machang Bubok, polis berjaya menemui sepucuk pistol jenis Llama dan satu kelopak berisi lima butir peluru di belakang pinggang lelaki yang ditahan," katanya.

Hasil pemeriksaan yang dilakukan ke atas kenderaan terbabit polis menemui dua bilah parang panjang, sebutir peluru hidup, alat pemedih mata, tujuh biji pil eramin 5 dan wang tunai RM13,000.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung Lim supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) di talian 045382222 atau balai polis berhampiran. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain