suria

Pakej rangsangan ekonomi mula nampak kesan positif, kata Najib

KUALA LUMPUR: Dua pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan oleh kerajaan sebelum ini berada pada landasan yang betul dan mula memberi kesan positif terhadap pemulihan ekonomi negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pakej rangsangan tersebut berjumlah RM67 bilion itu telah menjana peluang pekerjaan dan pendapatan kepada kontraktor kecil termasuk mereka di kawasan pedalaman," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kerajaan mengumumkan pakej rangsangan ekonomi pertama berjumlah RM6.07 bilion pada November tahun lalu manakala pakej kedua bernilai RM60.93 bilion pada Mac tahun ini.

Sektor pembinaan menyaksikan pertumbuhan 2.8 peratus pada suku akhir kedua berbanding 1.1 peratus yang dicatatkan pada suku akhir pertama tahun ini, kata Najib semasa menghuraikan perkembangan terbaru hasil pakej rangsangan itu.

Najib juga mengarahkan semua kementerian dan agensi kerajaan supaya melaksanakan dan menyiapkan semua projek yang dikenalpasti di bawah pakej pertama tahun ini.

"Setakat ini, sejumlah 83,939 telah ditawarkan di mana 53,076 projek bernilai RM6.07 bilion di bawah pakej pertama dan bakinya di bawah pakej kedua yang dirangka meliputi tempoh masa dua tahun," katanya.

"Ini bermakna dalam masa 10 bulan selepas pengumuman pakej pertama, 90 peratus projek yang dikenalpasti telah ditawarkan dan sedang dalam pelbagai peringkat pelaksanaan," katanya.

Sektor pembinaan adalah antara penerima faedah terbesar di kalangan beberapa sektor yang diberi suntikan dana kerana sektor itu membawa kesan besar kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Najib berkata sejumlah RM7.92 bilion telah dibayar kepada kontraktor bagi penyiapan 41,176 projek di bawah pakej pertama dan kedua rangsangan ekonomi yang dilancarkan bagi menangani kelembapan ekonomi global ekoran krisis kewangan antarabangsa yang menjejaskan teruk pasaran eksport.

Projek yang disiapkan termasuk pembinaan rumah kos rendah, infrastruktur, sekolah, balai polis dan kuarters pelbagai kelas untuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Najib berkata selaras dengan strategi kerajaan "rakyat didahulukan", sejumlah 1,126 projek perumahan dibina untuk 5,630 keluarga di seluruh negara.

Perdana Menteri itu secara peribadi memantau secara dekat pelaksanaan semua aspek pakej secara mingguan.

"Pendekatan secara dekat itu bagi memastikan sasaran yang ditetapkan di bawah dua pakej itu dapat dicapai," katanya.

Kerajaan juga memperuntukan RM1 bilion bagi pembangunan modal insan bagi mengekalkan kompetitif negara serta meningkatkan kecekapan pasaran tenaga kerja," jelasnya.

Pelaksanaan pakej rangsangan itu dikawal selia oleh beberapa agensi dengan dipimpin oleh Ketua Pegawai Operasi Unit Pengurusan Projek (PMU) Datuk Mohamad Othman Zainal Azim yang melaporkan secara terus kepada Perdana Menteri.

Sebuah jawatankuasa teknikal yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan juga melaporkan segala kemajuan pakej itu kepada jawatankuasa pemandu yang dipengerusikan oleh Najib.

Prosedur juga diseragamkan bagi memastikan pelaksanaan semua projek dilakukan secara pantas. Orang awam boleh mendapatkan butiran dan maklumat terbaru serta pertanyaan mengenai kemajuan pakej rangsangan dengan melayari laman web di www.rangsangekonomi.treasury.gov.my. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain