suria

Tiada kematian baru jangkitan H1N1

KUALA LUMPUR: Tiada kematian baru akibat influenza A(H1N1) dilaporkan hari ini dengan angka kematian masih kekal 77 orang.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican berkata 15 pesakit baru dengan gejala seperti influenza (ILI) telah dimasukkan ke hospital untuk rawatan dan 121 kes telah dibenarkan pulang.

"Ini menjadikan baki kes ILI yang sedang dirawat di 91 hospital termasuk 14 hospital swasta di seluruh negara adalah seramai 604 orang," kata beliau dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Antara 151 kes H1N1 yang sedang dirawat di hospital, 31 daripadanya adalah di Unit Rawatan Rapi (ICU).

"Daripada 31 kes H1N1 yang sedang dirawat di ICU, sebanyak 22 kes adalah faktor risiko iaitu tujuh kanakkanak bawah lima tahun, lima penyakit kronik, lima obesiti, tiga penyakit respiratori kronik dan dua hamil," kata beliau.

Dr Mohd Ismail yang turut mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Raya kepada orang ramai, juga mengingatkan orang ramai supaya terus meningkatkan kebersihan diri dan segera mendapatkan rawatan jika mengalami gejala seperti influenza.

Maklumat dan perkembangan terkini akan jangkitan Influenza A(H1N1) boleh diperolehi melalui talian hotline 038881 0200 atau 038881 0300 dari pukul 8 pagi hingga 5.30 petang, melalui emel di [email protected] serta laman web kementerian iaitu di http://www.moh.gov.my. BERNAMA

Artikel Sebelum

Tiada kematian baru jangkitan H1N1

Artikel Berikut

Artikel Lain