suria

Perpaduan, keharmonian teras ucapan Aidilfitri

KUALA LUMPUR: Perpaduan dan harmoni terus menjadi teras ucapan Aidilfitri baik daripada pemimpin Islam dan bukan Islam.

Mereka menyeru rakyat mengambil kesempatan musim perayaan untuk menumpukan tenaga kepada perpaduan nasional dan semangat 1Malaysia bagi memelihara muhibah antara pelbagai kaum dan agama.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali berharap umat Islam dapat meraikan kedatangan 1 Syawal dengan penuh meriah dan kesyukuran dalam keadaan sederhana.

Dalam perutusan beliau yang terkandung dalam blognya, Dr Mahathir mengingatkan bahawa terdapat ramai rakyat yang tidak berkemampuan.

Beliau turut menasihati mereka yang balik ke kampung supaya berhatihati di jalan raya dan memandu dengan cermat.

Di KOTA KINABALU, Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman mengesa rakyat supaya tidak terpengaruh dengan tindak-tanduk pihak tertentu yang suka memainkan sentimen perkauman dan keagamaan.

Sebaliknya, Musa menyeru rakyat supaya benar-benar menghayati dan memahami konsep 1Malaysia sebagai landasan untuk memperkukuhkan perpaduan nasional.

"Slogan ini menyediakan landasan serta garis panduan yang kukuh buat seluruh Malaysia untuk kekal bersatu walaupun semasa berada dalam detik-detik yang mencabar," katanya dalam perutusan khas sempena Adilfitri.

Musa berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengakui bahawa Sabah adalah model terbaik konsep 1Malaysia yang menyaksikan rakyatnya hidup bersatu padu dan harmoni meskipun terdiri daripada pelbagai kumpulan kaum, etnik dan budaya.

"Kerajaan sentiasa mengamalkan sikap bertolak ansur dan berusaha untuk mendengar, memahami dan seterusnya bertindak menyelesaikan masalah dan isu yang dihadapi oleh rakyat," katanya.

Di KUALA LUMPUR, Pemegang Amanah Yayasan 1Malaysia Tan Sri Lee Lam Thye pula menggesa rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama mengambil kesempatan untuk mempererat ikatan persahabatan, keharmonian antara kaum dan agama dalam semangat 1Malaysia.

Katanya, perpaduan nasional merupakan faktor utama kepada kejayaan negara dan tanggungjawab setiap rakyat adalah untuk menyumbang ke arah perpaduan nasional di samping berusaha memperbaiki ekonomi dan kesejahteraan sosial.

Oleh itu, beliau berkata usaha yang tidak henti-henti mesti dilakukan oleh setiap rakyat untuk meningkatkan satu budaya aman, harmoni dan kesepakatan.

Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) Datuk M. Kayveas pula berkata rakyat Malaysia harus bersyukur suasana Aidilfitri tahun ini tetap meriah dan aman walaupun terpaksa menghadapi cabaran hebat daripada segi ekonomi dan jangkitan Influenza A (H1N1).

"Marilah kita sama-sama tingkatkan keupayaan kita untuk berusaha ke arah menjamin keharmonian hubungan antara kaum kerana ia akan memberi banyak manfaat termasuk keamanan yang akan menjamin kesejahteraan dan kebahagiaan hidup kita semua di negara bertuah ini," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Tiada kematian baru jangkitan H1N1

Artikel Berikut

Artikel Lain