suria

Hari Raya pamer persefahaman dan saling menghormati, kata Presiden MCA

KUALA LUMPUR: Perayaan seperti Aidilfitri merupakan satu daripada wadah terbaik untuk mempamerkan semangat persefahaman, keprihatinan dan saling menghormati di kalangan rakyat berbilang kaum Malaysia, kata Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat.

Beliau berkata Aidilfitri bukan hanya sekadar mengunjungi rumah terbuka dan menikmati juadah Hari Raya.

"Ketika rakan beragama Islam kita meraikan Syawal selepas sebulan berpuasa dan menahan diri, kita juga berkongsi dan turut serta dalam meraikan perayaan mereka," katanya.

Ong berkata sementara rakyat di negara lain menderita akibat peperangan yang berpunca daripada sikap tiada toleransi dan fanatik agama, namun rakyat di negara ini menerima akan hakikat wujudnya perbezaan seumpama itu.

"Kita menghormati hak setiap warganegara Malaysia untuk mengamalkan ajaran agama mereka dan berkongsi keseronokkan menyambut perayaan setiap kaum," kata Menteri Pengangkutan itu.

"Amat menggembirakan untuk mengetahui bahawa rakyat Malaysia akan, sepertimana biasa, saling meraikan perayaan utama setiap kaum. Selalunya apabila sesuatu kaum meraikan perayaan agama masing-masing, mereka berkongsi dengan lainnya semangat perayaan itu," kata Ong.

Beliau menggesa semua rakyat Malaysia menyambut kegembiraan Hari Raya bersama-sama bagi mencerminkan semangat kekitaan.

"Bersama-sama kita mampu "membina jambatan" untuk mengatasi sebarang perbezaan dan menjadikannya sebagai "blok bangunan" dalam semangat 1Malaysia," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Tiada kematian baru jangkitan H1N1

Artikel Berikut

Artikel Lain