KUALA LUMPUR: Seorang pengawal keselamatan mati ditembak dan hampir RM100,000 dilarikan oleh tiga lelaki dalam masa kurang lima minit dalam rompakan di sebuah bank di Taman Segar, Cheras di sini semalam. Kejadian kira-kira pukul 3.55 petang itu bermula apabila tiga lelaki yang masing-masing memakai topi keledar bertutup penuh dan bersenjatakan sepucuk pistol masuk ke dalam bank berkenaan ketika operasi hariannya hampir tamat.Ketua Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata semasa kejadian hanya ada tiga petugas dan tiga pengawal keselamatan dalam bank berkenaan. "Seorang pengawal keselamatan berkawal di pintu masuk bank dan seorang lagi petugas berada di bahagian kaunter, manakala dua lagi pengawal serta dua petugas bank berada di bahagian belakang ketika (bank) sedang bersiap-siap untuk menutup (operasi harian) bank."Salah seorang suspek (suspek pertama) kemudian bertindak melepaskan dua das tembakan di bahagian dada pengawal keselamatan yang berkawal di pintu masuk bank itu," katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian hari ini.Beliau berkata suspek kedua kemudiannya menuju ke kaunter bank dan suspek ketiga berkawal di pintu masuk bank."Suspek kedua bertindak mengarahkan petugas bank di kaunter memasukkan wang ke dalam sebuah beg."Menyedari bank berkenaan dirompak, dua petugas dan dua pengawal keselamatan yang berada di bahagian belakang bank lantas menyembunyikan diri," kata Ku.Katanya, pengawal keselamatan yang ditembak itu mati serta-merta di tempat kejadian."Pengawal keselamatan yang bersenjatakan pump gun itu tidak sempat berbuat apa-apa sebelum dia ditembak dan mati di tempat kejadian," tambahnya.Mayat mangsa yang dikenali sebagai Adi Faizal, 27, dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk bedah siasat. Ku berkata salah seorang suspek kemudian mengambil pump gun pengawal berkenaan dan membuangkan senjata terbabit di dalam longkang berhampiran sebelum ketiga-tiganya melarikan diri menaiki sebuah Toyota Vios yang dipercayai dicuri.Katanya, polis kini sedang giat mengcam dan mengesan ketiga-tiga suspek melalui kamera litar tertutup di bank berkenaan."Kita tidak dapat mengenalpasti umur kesemua suspek itu dan polis masih menyiasat jika mereka terlibat dalam beberapa siri rompakan di sekitar ibu negara," katanya. BERNAMA