suria

Baki tiga lagi menyamar polis ditahan

JOHOR BAHARU: Polis menahan baki tiga lagi anggota kumpulan yang menyamar sebagai polis semasa melakukan rompakan dan peras ugut, dalam dua serbuan di sini pada Khamis.

Lelaki berkenaan yang berumur dalam lingkungan 20-an ditahan di tempat persembunyian mereka di Kampung Melayu Pandan dan Taman Setia Indah.

Barang curi yang dirampas daripada suspek termasuk empat kereta, tiga motosikal dan tiga komputer riba bernilai kira-kira RM500,000.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff hari ini berkata, ketiga-tiga lelaki itu mempunyai rekod jenayah lampau bagi merompak.

Beliau berkata polis sedang menyiasat sumber pakaian seragam dan rompi polis yang diperolehi suspek untuk digunakan semasa melakukan rompakan itu.

Rabu lepas, polis menahan tujuh anggota kumpulan itu dalam beberapa serbuan.

Kumpulan itu dipercayai terlibat dalam 21 rompakan di tepi jalan antara 13 Sept dan 16 Sept.

Beliau meminta kerjasama mereka yang mempunyai maklumat mengenai kumpulan itu supaya menghubungi hotline polis di 072212999 atau mana-mana balai polis. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain