suria

Bagan Pinang: Jawatankuasa Pengurusan bermesyuarat, calon BN diumum 29 Sept

PETALING JAYA: Jawatankuasa Pengurusan Umno yang bermesyuarat pagi tadi tidak membincangkan soal calon Barisan Nasional (BN) yang bakal diturunkan bagi mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang, Negeri Sembilan bulan depan.

Bagaimanapun nama calon akan diumumkan pada 29 September ini iaitu enam hari sebelum hari penamaan calon.

Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan dipengerusikan oleh Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin di ibu negara pagi semalam.

Ketua Penerangan Umno, Ahmad Maslan ketika dihubungi memberitahu, pihaknya hanya membincangkan soal persiapan menghadapi pilihan raya kecil.

"Kami membincangkan persiapan menghadapi pilihan raya kecil... soal calon, kami menyerahkan kepada pucuk kepimpinan parti untuk memutuskan," katanya.

Pilihan raya kecil yang kesembilan ini diadakan pada 11 Oktober. Penamaan calon dijadual 3 Oktober.

Dalam pada itu, Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pihaknya akan mengumumkan calon BN-Umno yang bakal bertanding pada 29 September.

Dipetik Bernama, Mohamad berkata, calon BN itu akan diumumkan sendiri oleh Muhyiddin selaku Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Pengerusi BN pada majlis Hari Raya Aidilfitri BN peringkat negeri di Port Dickson.

"Calon yang telah diputuskan oleh pucuk pimpinan itu akan diketahui pada hari tersebut," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat BN negeri hari ini.

Bagaimanapun, Mohamad yang juga Menteri Besar dan Pengerusi Umno negeri berkata, Badan Perhubungan Umno negeri masih belum menerima senarai nama calon yang dicadangkan daripada Umno Bahagian Telok Kemang, yang diketuai oleh Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.

"Saya belum menghantar nama pada pucuk pimpinan parti kerana belum menerimanya daripada Umno Bahagian Telok Kemang," katanya.

Beliau juga telah memberikan taklimat kepada Jawatankuasa Pengurusan Umno mengenai persediaan Badan Perhubungan Umno negeri dan Bahagian Telok Kemang.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Azman Mohammad Noor dari BN.

Artikel Sebelum

Artikel Lain