suria

Polis tahan empat pelajar IPT tidak sampai 24 jam menyamun

KUALA LUMPUR: Polis menahan empat pelajar lelaki dari sebuah institut pengajian tinggi dalam satu serbuan di sebuah hotel murah di bandar raya, kurang 24 jam selepas seorang wanita warga Sri Lanka membuat laporan polis yang beliau disamun empat lelaki yang menyamar sebagai polis.

Ketua Polis Daerah Brickfields, ACP Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata hasil maklumat orang awam, kesemua suspek yang berumur antara 19 dan 23 tahun itu berjaya ditahan di sebuah bilik hotel kirakira 6.30 petang semalam.

"Kami berjaya merampas semula sejumlah wang kirakira RM5,000 dan telefon bimbit mangsa. Suspek sedang ditahan reman sebelum didakwa tidak lama lagi," katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata suspek memasuki kawasan kondominium kediaman wanita yang berumur 38 tahun itu di Jalan Klang Lama kira-kira pukul 4 pagi semalam dengan memperkenal diri sebagai polis kepada pengawal keselamatan.

Wan Abdul Bari berkata semasa di kediaman wanita itu, suspek mengugut akan mencederakan mangsa dan dua lagi rakannya jika enggan memberikan wang serta telefon bimbitnya sebelum mereka melarikan diri. BERNAMA

Artikel Sebelum

Umat Islam sambut Aidilfitri Ahad

Artikel Berikut

Artikel Lain