suria

PM: Media bertanggungjawab bantu majukan negara

BANGI: Pihak media bertanggungjawab untuk membantu kerajaan dalam memajukan dan membawa pembaharuan kepada negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata keadaan negara yang aman dan damai serta pembaharuan dan kemajuan yang dikecapi rakyat haruslah dipertahankan dan di sinilah pihak media mempunyai tanggungjawab tersebut.

"Kita menjadi penyambung kepada mereka yang terlebih dahulu daripada kita untuk memajukan dan membawa pembaharuan kepada negara. Kita bukan hanya perlu membawa pembaharuan dan kemajuan tetapi juga harus melakukan satu lonjakan dan media juga bertanggungjawab dalam menolong transformasi tersebut.

"Lonjakan ini menuntut kesefahaman dan keterbukaan. Perasaan dan sentimen harus diketepikan, jika tidak perjalanan untuk melonjak negara akan menghadapi kesukaran," katanya ketika berucap di majlis berbuka puasa bersama Perdana Menteri di Kompleks Percetakan Sri Utusan di sini, hari ini.

Media, kata Najib selain mempertahankan hak sesuatu kaum, harus juga mempertahankan hak seluruh rakyat Malaysia dan dalam mempertahankan hak sesuatu bangsa, media perlu bertindak secara bertanggungjawab.

"Bila saya mengutarakan konsep 1Malaysia, ianya berpaksikan Perlembagaan negara dan Rukun Negara yang diamalkan selama ini. Di samping itu, saya juga mengutarakan prinsip-prinsip yang merangkumi sikap tanggungjawab yang perlu diamalkan. Untuk membina sebuah negara yang lebih maju kita perlu manghayati prinsip 1Malaysia.

"Kita kena berlaku adil kepada semua kaum. Ini bukan hanya sesuatu yang kita hendaki tetapi ianya juga adalah tuntutan agama Islam. Era kerajaan lebih tahu telah berakhir dan kini kita perlu berinteraksi dengan semua dan untuk ini media harus tahu pemikiran kerajaan dan sebaliknya," kata Perdana Menteri.

Bercakap mengenai Hari Raya yang bakal menjelang, beliau berkata ibadat puasa adalah latihan yang terbaik sekali untuk membina kekuatan dalaman seseorang itu.

"Meskipun dalam keadaan kelaparan dan dahaga, niat kita untuk mencapai kejayaan masih ada dengan kekuatan minda dan pemikiran. Dalam menyambut Hari Raya, kita juga harus bersyukur kerana kita dapat menyambut perayaan ini dalam keadaan aman, selesa dan dengan segala yang mencukupi," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Umat Islam sambut Aidilfitri Ahad

Artikel Berikut

Artikel Lain