suria

Isu kalungan selipar: Sukumaran sanjungi pendirian Mahathir

PETALING JAYA: Timbalan Ketua MIC Bahagian Paya Besar, Pahang, M. Sukumaran yang menyarankan agar Tun Dr. Mahathir Mohamad dikalungkan selipar, hari ini menyambut baik pendirian bekas Perdana Menteri itu sambil menyifatkan beliau sebagai "negarawan berjiwa besar dan terbuka."

"Apabila Dr. Mahathir sendiri berkata beliau tidak sedih atau marah dalam isu ini, saya terharu dengan pandangan beliau.

"Ini menunjukkan beliau seorang pemimpin bersikap terbuka, malah berjiwa besar," kata beliau ketika dihubungi mStar Online.

Pun begitu, kata Sukumaran, seorang bekas kakitangan awam agensi swasta, beliau masih ingin untuk menulis surat terbuka kepada Dr. Mahathir untuk memohon maaf.

"Selepas saya memohon maaf menerusi media dan selepas kenyataan balas Tun Dr. Mahathir semalam, saya sedang memikirkan untuk menulis sendiri kepada beliau.

"Saya sedang memikirkan kata-kata yang sesuai... saya akan menulis dalam waktu terdekat. Ini akan mengambil masa sedikit," kata beliau sambil menambah, "saya berharap isu ini akan selesai di sini."

"Saya sekali lagi memohon maaf dan saya tidak mahu isu menyusahkan mana-mana pihak selepas ini... biarkan isu ini selesai sekarang," katanya lagi.

Dalam kenyataannya semalam, Dr. Mahathir menegaskan, beliau tidak merasakan apa-apa dengan kecaman tersebut kerana "bukan saya jadi apa-apa".

Ini kerana menurut Dr. Mahathir, kecaman itu datang daripada anggota parti lain dan ia tidak merugikan beliau.

Sebaliknya, Dr. Mahathir berkata, beliau amat sedih dan marah sekiranya kecaman datang daripada anggota Umno sendiri seperti yang pernah berlaku.

"Ini bukan kali pertama saya dikecam. Dulu orang dah lupa macam mana pemimpin Umno kecam saya. Nazri (Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz) dan Menteri Besar Kedah dahulu nak buang saya daripada Umno.

"Tapi masa itu tak ada siapa bagi reaksi apa pun. Tak ada orang berani cakap apa," kata beliau kepada Bernama semalam.

Cadangan kalungan selipar itu dibuat Sukumaran pada Perhimpunan Agung MIC Ahad lalu kerana mendakwa Dr. Mahathir mencampuri urusan parti itu melalui kenyataankenyataan yang dibuatnya.

Kelmarin beliau memohon maaf dengan memberi alasan beliau telah terlepas cakap.

Sambil menjelaskan beliau juga bimbang dengan soal keselamatannya, Sukumaran memberitahu, ada pihak yang sudah mula memandang 'serong' selepas kenyataan dan gambarnya diterbitkan media sejak semalam.

Malah katanya, beliau juga menerima hukuman MIC yang memutuskan untuk menggantungnya ekoran isu ini.

Artikel Sebelum

Umat Islam sambut Aidilfitri Ahad

Artikel Berikut

Artikel Lain