suria

Teoh agak resah ketika percakapannya mula dirakam, kata saksi

SHAH ALAM: Prosiding inkues kematian Teoh Beng Hock di sini hari ini diberitahu mendiang kelihatan agak resah ketika pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mula merakam percakapannya sebagai saksi siasatan dakwaan salahguna wang peruntukan kerajaan negeri Selangor pada 16 Julai lepas.

Penolong Kanan Penguasa SPRM Selangor, Mohd Nadzri Ibrahim bagaimanapun berkata Teoh mula kelihatan tenang pada pertengahan rakaman percakapan dilakukan sehingga proses yang mengambil masa dua jam itu berakhir kira-kira pukul 3.30 pagi.

Beliau yang bertanggungjawab merakam percakapan Teoh berkata sepanjang proses itu tangan mendiang tidak digari dan beliau juga tidak nampak sebarang kecederaan dialami oleh Teoh.

Mohd Nadzri yang merupakan saksi ke-21 seterusnya berkata proses rakaman percakapan Teoh dihentikan seketika pada pukul 2.30 pagi kerana mendiang ingin ke tandas dan proses rakaman disambung semula kira-kira lima minit selepas itu.

"Selepas proses rakaman selesai, saya suruh Teoh pulang dan datang semula bawa dokumen berkaitan yang lain tetapi dia minta untuk berehat sekejap, (ketika itu) kirakira pukul 3.50 pagi.

"Kali terakhir saya nampak Teoh berada di atas sofa depan bilik pemangku Penguasa Kanan SPRM Selangor Mohd Anuar Ismail sebelum saya balik ke rumah kira-kira pukul 3.55 pagi," katanya.

Ketika peguam pemerhati keluarga Teoh, Gobind Singh Deo mencadangkan sekiranya Teoh berada dalam keadaan tertekan, percakapan yang dirakam berkemungkinan tidak mencerminkan keseluruhan kebenaran, Mohd Nadzri menjawab, "mungkin".

Saksi itu juga bersetuju dengan cadangan Gobind bahawa keadaan sekeliling seorang suspek atau saksi yang sedang direkodkan percakapannya boleh memberi kesan terhadap kerelaannya untuk memberi keterangan.

"Setuju atau tidak, jika percakapan dirakam di luar keadaan biasa misalnya dibuat pada waktu larut malam atau awal pagi mungkin memberi kesan kepada kerelaan saksi untuk memberi keterangan," kata Gobind dan Mohd Nadzri menjawab, "mungkin".

Beliau seterusnya berkata mengikut prosedur rakaman percakapan yang membabitkan seorang saksi, pegawai yang menjalankan proses itu tidak dimestikan bertanya kepada saksi sekiranya ada mengalami kecederaan atau mempunyai sebarang aduan sebelum proses rakaman percakapan dilakukan.

"Mengikut prosedur, hanya rakaman percakapan membabitkan suspek sahaja kita akan tanya sama ada dia mengalami kecederaan atau ada aduan sebelum memulakan proses rakaman," katanya.

Mendengar kenyataan Mohd Nadzri itu, Gobind terus bertanya: "Jadi maknanya adalah aduan tentang suspek dipukul?" dan saksi itu menjawab: "Aduan itu ada."

Gobind yang tersenyum mendengar jawapan itu terus bertanya: "Jadi, adalah kes suspek dipukul oleh orang SPRM?" dan Mohd Nadzri hanya mendiamkan diri.

Saksi itu bagaimanapun tidak bersetuju dengan cadangan Gobind bahawa Teoh diminta untuk terus berada di pejabat SPRM bertujuan untuk mendapatkan jawapan dan seterusnya mengaitkan mendiang dengan kes yang disiasat.

Mohd Nadzri juga tidak bersetuju dengan cadangan Gobind bahawa saksi perlu dikenakan tekanan mental dan kekerasan fizikal bagi memperolehi jawapan yang dikehendaki dalam siasatan.

Teoh, 30, setiausaha politik kepada Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kampung Baru dan Pengurusan Kilang Haram Selangor, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai lepas di tingkat lima Plaza Masalam di sini selepas memberi keterangan sebagai saksi siasatan penylahgunaan wang kerajaan negeri Selangor kepada SPRM Selangor yang berpejabat di plaza itu.

Terdahulu, Koroner Azmil Muntapha Abas membenarkan permohonan peguam SPRM Datuk Abdul Razak Musa untuk menangguhkan prosiding soal balas terhadap saksi yang mendakwa didera oleh pegawai SPRM, T.Sivanesan sementara menunggu laporan perubatan dan rakaman percakapan empat doktor yang menyediakan laporan itu.

Abdul Razak juga memaklumkan beliau masih belum sempat mendapatkan bantuan pakar untuk membandingkan gambar kecederaan saksi dengan laporan perubatannya.

Pada minggu lepas, Sivanesan, pembantu pengurus di sebuah syarikat swasta di Kuantan memberi keterangan bahawa dia telah disepak, ditampar dan dipukul dengan batang besi oleh lebih 10 pegawai SPRM semasa disoal siasat di pejabat SPRM tahun lepas. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain