suria

Sultan Kelantan masih menerima rawatan rapi

KOTA BHARU: Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra yang gering dan sedang dirawat di Hospital Mount Elizabeth, Singapura sejak 24 Mei lepas, masih menerima rawatan rapi doktor pakar di hospital berkenaan walaupun kesihatan baginda menunjukkan kemajuan.

Pengelola Istana Diraja Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad berkata, baginda tidak dapat menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan rakyat negeri ini sebagaimana kelaziman setiap tahun.

Bagaimanapun, Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra akan berhari raya dengan rakyat jelata selepas menunaikan solat sunat hari raya di Masjid Muhammadi dan Istana Balai Besar selepas itu.

"Baginda Sultan yang mengalami trauma saraf otak akibat serangan jantung Mei lalu masih dalam jagaan rapi doktor pakar hospital berkenaan dan menjalani siri rawatan fisioterapi yang intensif," katanya pada sidang akhbar di Istana Balai Besar di sini.

Abdul Halim berkata mengikut laporan pakar perubatan, kesihatan Tuanku "improve" (bertambah baik) tetapi amat tidak memuaskan dari segi penglihatan, daya ingatan dan pergerakan tangan serta kaki yang masih memerlukan rawatan fisioterapi yang intensif.

Sehubungan itu, Pemangku Raja Kelantan merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada rakyat Kelantan yang sentiasa mendoakan kesejahteraan dan kesihatan Tuanku.

Katanya lagi, inilah kali pertama Sultan Kelantan tidak dapat berhari raya bersama rakyat Kelantan sebagaimana lazimnya dilakukan setiap tahun.

Menurutnya lima doktor pakar dari luar negara termasuk seorang doktor pemerhati dari Malaysia merangkumi tiga pakar jantung dan seorang pakar paru-paru menjalankan rawatan rapi terhadap baginda. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain