suria

Pemilik kedai emas maut ditetak perompak di Ipoh

IPOH: Seorang pemilik kedai barangan kemas mati di Hospital Raja Permaisuri Bainun selepas dipercayai ditetak di bahagian leher dengan senjata tajam dalam kejadian rompakan di kedainya di Jalan Datuk Onn Jaafar di sini semalam.

Chan Wan Kee, 43, berada dalam keadaan kritikal ketika ditemui oleh pekerjanya yang memasuki premis tersebut kira-kira 5 petang.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Azisman Alias berkata pekerja wanita berkenaan yang terkejut melihat majikannya itu terus membuat panggilan kecemasan bagi meminta bantuan.

Bagaimanapun, mangsa didapati meninggal dunia sebaik sahaja tiba di hospital sebelum sempat menerima rawatan kecemasan, katanya ketika dihubungi.

Azisman berkata setakat ini pihaknya sedang mengenal pasti beberapa saksi yang boleh membantu polis mengetahui punca kejadian.

Beliau yang enggan mengulas lanjut tidak menolak rompakan sebagai motif kejadian kerana mangsa berurusan dalam kegiatan menjual dan membeli emas.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh di talian 0524511500 atau manamana balai polis berhampiran untuk membantu siasatan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain