suria

Najib bangga lihat perubahan besar kemudahan di Terminal Puduraya

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melahirkan rasa bangga dengan perubahan besar di Terminal Puduraya yang kini jauh lebih selesa walaupun pengubahsuaiannya hanya mengambil masa yang singkat.

Dalam lawatan mengejut keduanya ke perhentian bas itu Rabu, beliau gembira kerana kerajaan dan pihak pengurusan terminal berkenaan, UDA Holdings Bhd (UDA), telah mengambil langkah sewajarnya untuk memberi wajah baru kepada terminal itu dalam tempoh 51 hari sahaja.

"Saya percaya mereka yang menggunakan Terminal Puduraya ini akan rasa keadaan jauh lebih baik dan lebih selesa sekarang," katanya ketika meluangkan masa kira-kira 15 minit meninjau kemudahan-kemudahan yang terdapat di Terminal Puduraya di sini.

Dalam lawatan pertamanya ke perhentian bas itu pada 25 April lepas, Perdana Menteri mengarahkan supaya kemudahan sedia ada di hentian bas Puduraya itu diperbaiki bagi memberi keselesaan kepada pengguna.

Najib berkata sejumlah RM52 juta diperuntukkan untuk tujuan pengubahsuaian keseluruhan Terminal Puduraya bagi menjadikannya sebuah terminal bas moden dan serba lengkap, selesa serta mampu memberikan perkhidmatan yang bermutu kepada rakyat.

Beliau berkata pengubahsuaian yang telah siap kini merupakan fasa pertama yang membabitkan perbelanjaan kira-kira RM4.2 juta.

"Fasa kedua (pengubahsuaian) akan menyusul dan dalam jangkamasa setahun lebih, Insya-Allah tempat ini akan berubah dengan radikal sekali," katanya yang mengakui akan melawat lokasi itu lagi selepas pengubahsuaian fasa kedua selesai.

Antara perubahan yang boleh dijangkakan ialah kawasan menunggu untuk penumpang akan diluaskan tiga kali ganda, ruang-ruang berniaga pula akan mendapat lot kedai yang moden selain kawasan sekitar terminal yang akan diperindah dan dipermodenkan, katanya.

Mengenai projek Plaza Rakyat yang terbengkalai sejak 12 tahun lepas, Najib berkata keputusan mengenai projek berkenaan akan dibuat tidak lama lagi.

Katanya projek itu kini di bawah Majlis Ekonomi Negara (EPU).

Projek Plaza Rakyat pada mulanya menelan kos RM1.2 bilion telah diabaikan selama 12 tahun selepas beberapa kali bertukar tangan. Pemaju sekarang ialah Global Upline. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain