suria

Khir Toyo terima ugutan bunuh

SHAH ALAM: Ketua Pembangkang Selangor Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo hari ini membuat laporan polis berhubung surat ugutan bunuh terhadap dirinya yang diterima melalui surat yang dialamatkan ke pejabatnya di Sungai Panjang.

Beliau membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam di Seksyen 11 di sini pada 12.54 tengah hari.

Bercakap kepada pemberita selepas membuat laporan itu, Dr Mohamad Khir berkata surat ugutan bunuh itu yang dialamatkan ke pejabatnya di Sungai Panjang mengandungi sehelai kertas yang ditulis tangan dalam bahasa Melayu pada kedua-dua muka kertas itu.

Katanya surat itu dibawa oleh pembantunya bersama-sama surat lain dan kad ucapan Selamat Hari Raya ke pejabatnya di Glenmarie di sini pagi ini dan beliau membaca surat ugutan bunuh itu pada kirakira 10 pagi.

Ditanya bilakah surat itu diposkan, beliau berkata berdasarkan cop pada setem ialah pada 15 Sept lepas dan diposkan dari Bukit Raja, Klang.

Dr Mohamad Khir berkata: "Surat ini mengatakan jika saya tidak berhenti saya akan ditembak ataupun disumpit dengan racun, ini yang buat saya buat laporan (polis) hari ini sebab saya bimbang.

"Sejak akhir-akhir ini saya dapat banyak ugutan melalui telefon, sms (khidmat pesanan ringkas) tapi saya tidak hiraukan tapi surat ini nampaknya agak serius menuduh saya berusaha menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat.

"Dia tulis di sana (salam surat ugutan) saya bebas mencari Datuk Seri sama ada di Selangor, di Sungai Panjang, di Sungai Besar, di Sungai Dorani, di Shah Alam...saya boleh tembak Yang Berhormat pada bila-bila masa," katanya.

Ditanya sama ada beliau mengetahui siapa yang menghantar surat ugutan itu, beliau berkata biarlah pihak polis yang menyiasat.

"Sebagai Ketua Pembangkang saya menegur apa yang perlu, apa yang perlu diambil tindakan untuk kebaikan. Saya kesal tindakan saya itu dikatakan saya cuba untuk menjatuhkan Pakatan Rakyat, katanya.

Dr Mohamad Khir juga berkata ugutan itu ditujukan hanya kepada beliau seorang sahaja. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain