suria

Cadangan kalungan selipar kepada Dr Mahathir adalah biadab - Abdullah

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi berkata tindakan perwakilan MIC yang mencadangkan "kalungan selipar" diletakkan pada gambar bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad adalah biadab dan tidak boleh diterima.

Katanya perbuatan mengalungkan selipar di leher bukan sahaja dianggap sesuatu yang buruk dan tidak baik oleh orang Melayu malah kaum lain juga mengakuinya.

Perkara itu tidak seharusnya berlaku apatah lagi dicadangkan kepada bekas pemimpin yang pernah berbakti kepada negara, katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai perkara itu pada majlis berbuka puasa dan perpisahan bekas Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid di sini.

Pada perhimpunan agung MIC Ahad lepas, seorang perwakilan MIC mencadangkan supaya "kalungan selipar" diletakkan pada gambar Dr Mahathir ekoran kenyataannya yang dianggap mencampuri urusan dalaman MIC.

Sementara itu, Ahmad Sarji melahirkan keyakinannya bahawa selaku Pengerusi baru IKIM, Abdullah mampu melonjakkan nama IKIM di persada dunia berdasarkan pengalamannya sebagai bekas Perdana Menteri dan juga Pengerusi Pertubuhan Persidangan Islam.

Beliau berkata apa yang diperlukan IKIM ialah meningkatkan lagi hubungan dengan dunia luar serta institusi, akademi dan yayasan yang berkaitan dengan Islam.

Abdullah secara rasmi mengambil alih tugas sebagai Pengerusi IKIM pada 2 Sept lepas daripada Ahmad Sarji yang menyandangnya sejak penubuhan IKIM 17 tahun lepas. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain