suria

Terpulang kepada perwakilan untuk memilih kepentingan individu atau MCA - Ong

KUALA LUMPUR: Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat berkata para perwakilan yang akan menghadiri mesyuarat agung luar biasa perlu memilih sama ada kepentingan individu boleh mengatasi parti dan negara.

Ong, yang juga Menteri Pengangkutan, berkata beliau menerima semua lima usul yang dicadangkan oleh para penyokong timbalan presiden Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang telah dipecat, kerana tidak mahu memanjangkan "keadaan sukar" di dalam parti.

"Saya mahu penyelesaian segera bagi menyatupadukan parti supaya kita dapat memberi tumpuan menguatkan parti untuk berkhidmat kepada rakyat. Walaupun ini bermakna menghulurkan kepala saya untuk dipancung," katanya dalam laman blognya.

Usul tidak percaya terhadap Ong dan usaha untuk mengembalikan semula kedudukan Dr Chua akan dibentangkan pada mesyuarat agung luar biasa itu yang tarikhnya akan diumumkan hari ini.

Ong berkata beliau menerima agenda itu kerana komited dengan ketelusan dan keinginannya supaya MCA menjadi lebih terbuka dan mendengar lebih banyak pandangan.

"Saya terima resolusi tuntutan mesyuarat agung luar biasa itu secara menyeluruh, tanpa rasa gentar dan dengan hati yang ikhlas walaupun mengetahui saya mungkin kehilangan semua. Saya tidak penting. Yang penting MCA dan saya tidak mahu memanjangkan keadaan sukar yang dihadapi parti," katanya. Beliau menganggap penerimaannya itu sebagai "satu tempelak" berhubung dakwaan oleh para pengkritiknya bahawa perselisihan itu disebabkan kurangnya keyakinan beliau terhadap kepimpinannya.

Isu itu bukan lagi di antara Dr Chua dan dirinya, kata Ong.

Ong berkata beliau yakin para perwakilan tidak akan mudah terpedaya dengan "penipuan, kenyataan yang separuh benar, ugutan atau tawaran kewangan".

"Mereka mempunyai kebijaksanaan untuk menentukan masa depan MCA. Akhirnya mereka akan tahu akibatnya kerana tidak melakukan perkara yang betul. Mereka akan sedar kesannya yang menjangkaui MCA bagi menyentuh hati nurani institusi keluarga.

Mesyuarat agung luar biasa itu diadakan berikutan pemecatan Dr Chua bulan lepas yang dihukum kerana menjejaskan imej parti berikutan skandal video seks. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain