suria

Kes liwat: Anwar gagal lucutkan kelayakan pendakwaan

KUALA LUMPUR: Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal dalam permohonannya untuk untuk melucutkan kelayakan keseluruhan pasukan pendakwaan berhubung perbicaraan kes liwatnya.

Hakim Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas), Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin memutuskan perkara tersebut kerana Anwar gagal untuk mematuhi syarat-syarat permohonan semakan semula kehakiman.

Hakim berkata, permohonan bagi semakan kehakiman di bawah Peraturan 53 Kaedah-Kaedah Mahkamah Tinggi 1980 adalah bagi mencabar satu keputusan, perbuatan atau peninggalan pihak berkuasa.

"Saya memutuskan berdasarkan kes undang-undang, ia mesti ada perbuatan tertentu atau kesalahan tertentu ataupun penyalahgunaan kuasa tertentu.

"Ini adalah perkara dasar bagi sesuatu permohonan semakan kehakiman," katanya.

Anwar memfailkan permohonan untuk melucutkan kelayakan keseluruhan pasukan pendakwaan dalam kes liwatnya pada 11 Ogos lalu, dengan menyebut alasannya sebagai "sama seperti mempersenda keadilan".

Beliau menamakan Peguam Cara 1 Datuk Idrus Harun, Peguam Cara II Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden, para Timbalan Pendakwa Raya Datuk Nordin Hassan, Mohamad Hanafiah Zakaria, Wong Chiang Kiat, Shamsul Sulaiman dan Noorin Badaruddin, Pendakwa Raya dan Kerajaan sebagai responden.

Anwar menyatakan tindakan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, dalam menandatangani sijil Seksyen 418A, jelas menunjukkan hakikat yang beliau adalah orang yang bertanggungjawab bagi keadaan "main tarik tali dan manipulasi oleh pihak pendakwaan mengikut kehendaknya."

Antara lain, beliau memohon diisytiharkan pasukan pendakwaan yang mengendalikan kes liwatnya tidak layak untuk mewakili Pendakwa Raya dan/atau menjalankan prosiding atau rayuan terhadapnya.

Anwar, 62, dituduh meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan, 24, di sebuah kondominium di Bukit Damansara di sini pada 26 Jun tahun lepas.

Hakim Azilatul juga berkata, Anwar tidak dicabar mana-mana penyalahgunaan kuasa oleh tujuh orang responden berkenaan yang memerlukan mahkamah menghalang mereka.

Semasa menghuraikan hujahan kehakimannya, Azilatul berkata dalam permohonannya, Anwar mahu menghalang pihak pendakwaan mengendalikan kes berkenaan dengan alasan wujudnya amalan berat sebelah, konflik kepentingan dan salah laku pendakwaan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain