suria

Jaminan pengilang hanya untuk pengubahsuaian dan pemasangan alat ganti diluluskan Audi AG

PETALING JAYA: Jaminan pengilang bagi kenderaan jenama Audi di negara ini hanya akan dilanjutkan dengan pemasangan alat ganti yang diluluskan oleh Audi AG.

Perkara itu dinyatakan oleh pengimport dan pengedar tunggal model kenderaan siap sepenuhnya Audi CBU di negara ini, Euromobil Sdn Bhd dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, terdapat banyak komponen prestasi dan alat ganti di pasaran, malah ada yang mendakwa ia adalah untuk meningkatkan prestasi kenderaan itu.

Bagaimanapun, sebarang pengubahsuaian dan pemasangan menggunakan alat ganti yang tidak diluluskan akan membatalkan jaminan tersebut melainkan alat ganti tersebut adalah alat ganti Audi tulen melalui Euromobil.

Euromobil diminta menasihatkan pengguna untuk melindungi dan menjaga kepentingan mereka dan sekiranya wujud sebarang kemusykilan boleh menghubungi talian 03-76887688 untuk pembelian alat ganti atau membuat pengubahsuaian terhadap kenderaan Audi mereka. Euromobil, sebuah anak syarikat milik penuh Edaran Otomobil Nasional Berhad dari Kumpulan DRB-HICOM Group telah dilantik sebagai pengedar tunggal model Audi CBU sejak 2003 bagi menyelia penjualan, perkhidmatan dan pembekalan alat ganti tulen produk Audi di Malaysia.

Antara model Audi CBU dalam pasaran adalah A4, A6, A8, TT, Q5 dan Q7 yang kesemuanya diimport dari Jerman.

Pada ketika ini, syarikat tersebut beroperasi di Selangor, Pulau Pinang dan Johor Bahru. Bilik pamerannya akan dibuka pada penghujung 2009 di Segitiga Emas Kuala Lumpur.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain