suria

Jalaluddin dan wartawan Nanyang dilantik sertai pasukan media PM

KUALA LUMPUR: Datuk Jalaluddin Bahaudin dan bekas Timbalan Ketua Editor Nanyang Siang Pau Joan Lai Siew Choo dilantik menyertai pasukan media Perdana Menteri.

Jalaluddin memulakan tugas pada Rabu sebagai penasihat media kepada Datuk Seri Najib Tun Razak, kata setiausaha akhbar Perdana Menteri Datuk Tengku Sharifuddin Tengku Ahmad.

Jalaluddin, bekas wartawan Bernama, pernah bertugas sebagai setiausaha akhbar dan pembantu khas kepada mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Lai juga mula bertugas hari ini sebagai penolong setiausaha akhbar yang melapor kepada Tengku Sharifuddin.

"Saya rasa berbesar hati dan akan menjalankan tugas dengan baik dalam usaha merapatkan jurang komunikasi antara masyarakat Cina dan kerajaan," katanya kepada Bernama.

"Saya berharap dengan peranan baru ini, saya akan dapat memberi penjelasan berhubung dasar kerajaan kepada masyarakat dan membantu menyampaikan mesej mereka kepada Perdana Menteri," katanya.

Lai, yang berasal dari Bentong memulakan kerjaya kewartawanannya sebagai penyunting di Nanyang pada 1983 sebelum melanjutkan pengajian dalam Ijazah Undang-undang pada 1994. Beliau kembali berkhidmat di akhbar harian berbahasa Cina itu pada 2002. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain