suria

Anggota MIC yang digantung mahu minta maaf kepada Dr Mahathir

KUALA LUMPUR: Anggota MIC yang digantung keanggotaannya, M.Sukumaran mahu meminta maaf secara peribadi kepada Tun Dr Mahathir Mohamad selepas mencadangkan "kalungan selipar" pada potret mantan Perdana Menteri itu.

"Saya menyesal mengeluarkan perkataan tersebut, saya sangat menyesal. Saya benar-benar berharap Tun Dr Mahathir akan memaafkan saya," katanya apabila dihubungi.

Sukumaran, yang merupakan Timbalan Ketua MIC Paya Besar, Pahang, berkata beliau dengan merendah diri meminta maaf kepada Dr Mahathir dan akan membuat temujanji untuk bertemu dengan tokoh negara itu untuk menyampaikan permohonan maafnya.

Kenyataan yang dibuatnya pada perhimpunan agung parti itu Ahad lepas, telah membangkitkan kegemparan di kalangan ahli politik, termasuk dari parti lain dan badan bukan kerajaan.

"Saya telah dipengaruhi oleh emosi ketika membuat kenyataan itu yang mana ia secara serius telah menyakiti perasaan Tun Dr Mahathir. Saya bertanggungjawab di atas tindakan saya dan memohon maaf dari Tun Dr Mahathir," kata Sukumaran.

Beliau juga meminta maaf dari Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan berkata beliau menerima "dengan hati terbuka" keputusan Presiden MIC Datuk Seri S.Samy Vellu yang menggantung keanggotaannya dalam MIC.

"Saya menerima apa jua keputusan yang diambil oleh MIC," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain