suria

Najib harap duta asing bantu Malaysia perbetulkan persepsi negatif

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berharap para diplomat asing akan membantu Malaysia dalam memperbetulkan sebarang persepsi negatif yang dilemparkan terhadap negara ini.

Beliau berkata ini berdasarkan hakikat yang Malaysia telah banyak kali digambarkan secara negatif dalam liputan media asing.

"Saya berharap anda (diplomat asing) akan memberikan bantuan (yang perlu) kepada kami supaya orang lebih memahami Malaysia.

"Ada kalanya kami diberikan persepsi negatif daripada segi liputan berita mengenai Malaysia. Kadang kala ia diperbesar-besarkan.

"Kami cuba mengendalikan perkara seumpama itu. Kami tidak mahu Malaysia digambarkan secara negatif tetapi ia berlaku," katanya.

Najib berkata demikian dalam ucapannya pada sesi interaktif antara beliau dan para duta dan diplomat asing yang dianjurkan oleh Menteri Luar Datuk Anifah Aman di Wisma Putra di sini Isnin.

Najib juga berkata Malaysia akan berusaha untuk memberikan imej positif kepada dunia.

Daripada segi dasar luar, beliau berkata Malaysia akan terus bekerjasama dengan semua negara.

"Kami mahukan keamanan dan kemakmuran. Kami mahu bekerjasama dengan semua negara.

"Kami harus saling bekerjasama untuk menangani isu global seperti dalam soal jaminan makanan, keganasan global, penyeludupan manusia dan memupuk kefahaman lebih baik mengenai Islam melalui dialog," katanya. BERNAMA

Artikel Lain