suria

Kumpulan samun di hentian bas tumpas

NIBONG TEBAL: Polis menahan tiga lelaki dan percaya berjaya menyelesaikan 22 kes samun dan ragut yang berlaku di sekitar Seberang Perai.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Supt Shafien Mamat berkata tiga lelaki berusia antara 18 dan 25 tahun itu ditahan Ahad lepas di Jawi di sini.

"Mereka bersama seorang lagi lelaki yang berjaya melarikan diri cuba menyamun seorang lelaki lain di hentian bas kira-kira pukul 7.30 pagi. "Kumpulan samun bermotosikal ini berpura-pura cuba bertanyakan sesuatu alamat sebelum mereka mengeluar pisau dan mengacukannya kepada mangsa sambil mengarahkan mangsa memberi wang dan barang berharga," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata dua anggota polis yang sedang meronda kawasan berkenaan ternampak kejadian itu dan bertindak mengejar kumpulan samun terbabit.

"Tiga daripada mereka yang bertindak bersembunyi dalam semak berhampiran kawasan hentian bas berkenaan berjaya ditahan polis manakala seorang lagi melarikan diri ke arah lain," katanya polis turut merampas dua motosikal dan beberapa bilah pisau.

Shafien berkata dengan tertangkapnya tiga anggota kumpulan berkenaan, polis percaya berjaya menyelesaikan 22 kes samun dan ragut di sekitar Seberang Perai.

Katanya ujian air kencing mereka yang ditahan reman sehingga 16 Sept ini juga positif dadah.

"Polis meminta bantuan orang ramai bagi mengesan rakan mereka yang berjaya melarikan diri dan lelaki berkenaan dikenali sebagai Mohd Nazri Ramli berasal dari Taman Bidara, Bukit Mertajam dekat sini.

"Dia yang berusia 29 tahun merupakan abang kepada salah seorang daripada lelaki yang telah ditahan," katanya. Sementara itu, Shafien berkata polis turut mencari seorang lelaki yang merupakan bekas tentera bagi membantu siasatan kes pecah rumah di Kampung Teluk Kechil di sini awal pagi semalam.

Katanya lelaki yang dikenali sebagai Nordin Tab, 45, berasal dari Jawi itu dipercayai bersama tiga rakannya telah merompak sebuah rumah kira-kira pukul 3.40 pagi semalam.

"Ketika polis sampai, kumpulan berkenaan berjaya melarikan diri tetapi telah meninggalkan kereta milik Nordin berhampiran kawasan itu," katanya.

Beliau berkata polis meminta kerjasama orang ramai yang mengenali kedua-dua lelaki berkenaan supaya menghubungi manamana balai polis berdekatan.BERNAMA

Artikel Lain