suria

Kes Peguam Negara cabar pekeliling Kerajaan Selangor disebut semula 29 September

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 29 Sept ini untuk sebutan semula kes Peguam Negara yang memohon mengisytiharkan pekeliling yang mengarahkan pegawai dan kakitangan kerajaan Selangor membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada waktu pejabat dengan kehadiran peguam, sebagai tidak sah dan terbatal.

Timbalan Pendaftar Mohd Hafizi Abdul Halim menetapkan tarikh itu di dalam kamarnya hari ini bagi memberi masa kepada pihak-pihak mendapatkan salinan permohonan yang dimeterai untuk diserahkan kepada Peguam Negara.

Ianya bagi membolehkan Peguam Negara mempertimbangkan sama ada ingin menjawab afidavit balasan yang difailkan Kerajaan Negeri Selangor berhubung permohonannya itu serta menjawab permohonan yang difailkan kerajaan negeri pada 4 Sept lepas, bagi membatalkan saman pemulanya.

Peguam Kanan Persekutuan Azizah Nawawi hadir mewakili pihak Peguam Negara sementara defendan diwakili peguam Yusmadi Yusoff.

Pada 20 Ogos lepas, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail memfailkan saman pemula di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini, bagi memohon satu perintah deklarasi bahawa pekeliling berkenaan yang dikeluarkan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Datuk Ramli Mahmud bertarikh 28 Julai lepas, sebagai tidak sah dan terbatal.

Selain Kerajaan Negeri Selangor, Abdul Gani selaku plaintif, turut menamakan setiausaha kerajaan negeri itu sebagai defendan.

Dalam afidavit sokongannya, Abdul Gani antara lain berkata memandangkan pekeliling itu adalah satu arahan pentadbiran, ianya mengikat semua pegawai dan kakitangan kerajaan Selangor dan sekiranya pekeliling itu tidak dipatuhi, ianya boleh dijadikan alasan untuk tindakan tatatertib terhadap pegawai dan kakitangan kerajaan negeri.

Pada 4 September lepas, Kerajaan Negeri Selangor memfailkan permohonan bagi membatalkan saman pemula yang difailkan Peguam Negara itu.

Afidavit sokongan yang bertujuan menentang permohonan Peguam Negara dan menyokong permohonan kerajaan negeri Selangor turut difailkan pada hari yang sama.

Dalam permohonan itu, kerajaan negeri Selangor antara lain mendakwa Peguam Negara tiada locus standi untuk memulakan prosiding itu dan pihak yang sewajarnya ialah SPRM kerana suruhanjaya itu adalah pihak yang terjejas secara langsung dengan pekeliling tersebut.

Afidavit setebal 55 muka surat yang diikrarkan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim itu antara lain menyatakan bahawa pekeliling bertarikh 28 Julai 2009 telah dikeluarkan setelah mendapat nasihat daripada Penasihat Undang-undang Negeri Datin Paduka Zauyah Be T.Loth Khan dan dikeluarkan dengan tujuan untuk membantu penyiasatan yang dijalankan oleh SPRM dan bukan sebaliknya.

Afidavit itu juga menyatakan pekeliling tersebut hanya menjadi perlu dan terpaksa dikeluarkan kerana pegawai dan kakitangan kerajaan negeri telah secara berterusan dikacau ganggu dan dipanggil dengan tidak semenamena oleh SPRM dan dituntut oleh SPRM untuk menyerahkan pelbagai dokumen, yang mana akhirnya mengakibatkan kematian mengejut salah seorang kakitangan kerajaan negeri Selangor iaitu Teoh Beng Hock. BERNAMA

Artikel Lain