suria

'Kalungan selipar': Muhyiddin mahu Samy Vellu ambil tindakan

PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu mengambil tindakan terhadap mereka yang mencadangkan meletakkan "kalungan selipar" pada gambar bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menegaskan yang kenyataan itu adalah biadap dan tidak menghormati pemimpin, beliau berkata lebih cepat tindakan diambil adalah lebih baik.

"Ini kerana kita tidak mahu hanya disebabkan satu dua pandangan akan mengeruhkan hubungan antara komponen BN (Barisan Nasional).

"Penting di peringkat ini kita (parti komponen BN) mengukuhkan soal perpaduan, bagaimana untuk mengukuhkan Barisan Nasional dan saling membantu, dan jika ada pandangan sebegitu, pihak parti yang berkenaan harus bertindak untuk tidak mengeruhkan keadaan," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat dengan Kementerian Pengajian Tinggi dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengenai hala tuju pengajian aliran agama di sini hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai cadangan itu yang dikemukakan oleh perwakilan pada Perhimpunan Agung MIC hujung minggu lepas ekoran kenyataan bekas Perdana Menteri itu yang didakwa mencampuri urusan dalaman MIC. Ketika ditanya mengenai kenyataan Samy Vellu bahawa kaum India kecewa dengan BN dan bukan dengan dirinya, Muhyiddin berkata: "Saya tidak fikir itu betul tetapi yang pasti beliau berhak untuk bercakap begitu.

"Anda (Samy Vellu) kata ini bukan penolakan oleh MIC tetapi penolakan terhadap BN, (sedangkan) MIC ialah parti komponen BN dan BN merupakan sebuah parti yang besar yang dianggotai oleh semua parti komponen.

"Tetapi hakikatnya ialah sudah ada bayangan yang disuarakan oleh banyak orang bukan sahaja di kalangan rakyat Malaysia tetapi juga kaum India mengenai apa yang boleh kita katakan sebagai kelemahan dalam MIC.

"Saya tidak mahu menghuraikan secara terperinci mengenai perkara ini. Apa yang penting pada ketika ini, sepertimana disebut oleh (Perdana Menteri) Datuk Seri Najib (Tun Razak) semasa merasmikan persidangan perwakilan MIC ialah supaya parti itu mendapatkan semula keyakinan dan kepercayaan (rakyat)," katanya.

Muhyiddin berkata pucuk kepimpinan MIC perlu menjadikan iktibar daripada kekalahan teruk pada pilihan raya umum lepas dengan berusaha memulihkan semula keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap parti itu. BERNAMA

Artikel Lain