suria

Empat perompak berkapak larikan hasil jualan stesen minyak

PETALING JAYA: Seorang usahawan wanita muda berputih mata apabila wang hasil jualan stesen minyak miliknya berjumlah RM140,000 dilarikan empat perompak bersenjatakan sebilah kapak di Sungai Buloh tengah hari semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Arjunaidi Mohamed berkata mangsa yang berusia 27 tahun itu diserang empat lelaki tersebut yang menaiki dua kereta mewah ketika dia sedang dalam perjalanan ke bank.

"Mangsa baru sahaja mengutip hasil jualannya selama tiga hari untuk disimpan ke dalam bank. Ketika mangsa baru sahaja bergerak tidak jauh dari stesen minyaknya, tibatiba dua kereta menghalang kenderaannya.

"Suspek kemudian mengacukan sebilah kapak ke arah wanita itu sebelum merampas beg berisi wang tunai berkenaan. Mangsa yang ketakutan tidak berani berbuat apaapa sebelum melaporkan kepada polis," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Arjunaidi berkata polis tidak menolak kemungkinan bahawa suspek telah memerhatikan gerak geri mangsa terlebih dahulu sebelum bertindak menyamunnya.

Beliau berkata berdasarkan bahasa percakapan suspek, polis percaya keempatempat penjenayah itu merupakan warga tempatan.

"Mangsa bagaimanapun tidak cedera dan kini polis sedang mengesan penjenayah tersebut," katanya.

Dalam pada itu, hasrat seorang warga emas untuk membayar zakat tidak kesampaian apabila wang RM19,000 yang baru dikeluarkannya dari sebuah bank, dirompak seorang lelaki di Kelana Jaya semalam.

Dalam kejadian kirakira pukul 12 tengah hari itu, mangsa yang berusia 62 tahun sedang menuju ke keretanya yang diletakkan tidak jauh dari bank sebelum dihampiri seorang lelaki ketika berada di dalam kereta.

"Suspek kemudian dengan berani membuka pintu kereta sebelum merampas beg berisi wang kepunyaan mangsa dan melarikan diri.

Mangsa hanya mampu menjerit meminta tolong dan melihat suspek melarikan diri kerana kejadian berlaku terlalu pantas," katanya.

Beliau menyeru orang awam yang mempunyai maklumat atau menyaksikan kedua-dua kejadian itu agar tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. BERNAMA

Artikel Lain