suria

Dua pekerja kilang warga Bangladesh mati dibunuh

SEREMBAN: Dua pekerja kilang warga Bangladesh ditemui mati dibunuh manakala seorang lagi rakan mereka cedera dipercayai akibat diserang dengan senjata tajam di sebuah asrama pekerja di rumah kedai Taman Kemuning, Senawang, dekat sini pagi ini.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Osman Salleh berkata polis diberitahu mengenai kejadian itu oleh seorang pengawal keselamatan pada 4.10 pagi.

"Seorang dijumpai di tempat tidur dan seorang lagi di bahagian dapur. Kedua-duanya dijumpai dalam keadaan berlumuran darah dipercayai ditikam di rusuk manakala lehernya dikelar," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Kedua-dua mangsa dikenali sebagai Abdul Kader Fazer Ali, 22, dan Shahin Md Amir Hossain, 24.

Seorang lagi mangsa hanya mengalami luka-luka di badan dan telah dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar Seremban.

Polis menemui dua bilah pisau berukuran 0.3 meter panjang dan dua batang garpu yang mempunyai kesan darah. Di luar asrama itu, polis juga menjumpai sehelai baju dan sehelai seluar jean yang terdapat kesan darah.

Semasa kejadian, terdapat sembilan warga Bangladesh yang lain sedang tidur manakala empat lagi rakan mereka sedang bekerja. "Kejadian ini dipercayai berlaku pada pukul 2 pagi," kata Osman. Beliau berkata polis ingin mencari seorang pekerja warga Bangladesh, Olier Shekh, 26, yang juga merupakan penghuni asrama yang sama, bagi membantu siasatan kes itu. Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat ASP Sulizme Affendi di Ibupejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan di talian 06-7682222 bagi membantu siasatan.BERNAMA

Artikel Lain