suria

Siasatan nahas pesawat TUDM ambil masa lima minggu

KUALA LUMPUR: Lembaga Penyiasat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang ditubuhkan bagi mengenal pasti punca nahas pesawat PC7 MKII yang terhempas di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi pada Jumaat lepas mengakibatkan dua juruterbang terkorban, akan mengambil masa lima minggu untuk menyelesaikan siasatannya.

Bahagian Perhubungan Awam TUDM berkata dalam satu kenyataan hari ini bahawa Lembaga Penyiasat yang diketuai Kolonel Sanusi Samion perlu menjalankan siasatan menyeluruh dan terperinci kerana ia adalah nahas pertama melibatkan pesawat jenis PC7 MKII buatan Switzerland.

Bangkai pesawat itu akan dibawa ke bahagian teknikal Kolej Tentera Udara di Alor Setar manakala alat rakaman suara dan data penerbangan pesawat berkenaan pula perlu dihantar ke syarikat pengeluar pesawat berkenaan bagi tujuan analisis.

Menurut kenyataan itu, TUDM turut mengucapkan takziah kepada isteri, anak-anak dan semua anggota keluarga dua juruterbang yang terkorban dalam nahas itu iaitu Allahyarham Mejar Zulkefli Hassan dan Mejar Mohd Roszaini Mohd Mustafa.

TUDM mula mengguna pakai pesawat jenis itu bagi latihan penerbangan sejak 2006.

Lembaga Penyiasat itu dianggotai Mejar Chen Boon Jong, Mejar Dr Zulkifli Mohammad, Mejar Mohd Shahrul Nizam Mohd Hedzir, dan Mejar Khairul Nawar Bukhari. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain