PAS akan bertemu SPR 28 Sept bincang prosedur undi pos - Semasa | mStar

PAS akan bertemu SPR 28 Sept bincang prosedur undi pos

KUALA LUMPUR: PAS akan mengadakan pertemuan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) 28 Sept depan bagi membincangkan mengenai prosedur undi pos yang dilihat tidak telus dan boleh dimanipulasi.

Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub hari ini berkata sehubungan itu, PAS akan mendesak SPR mengkaji semula sistem undi pos.

Mengenai pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang, Negeri Sembilan Oktober depan, Salahuddin memberitahu pemberita di sini, PAS sudah ada tiga nama untuk dicalonkan pada pilihan raya kecil tersebut.

Bagaimanapun beliau enggan mendedahkan nama-nama calon itu dan hanya berkata calon bagi DUN itu akan ditentukan PAS Pusat pada masa yang terdekat ini.

Tarikh penamaan calon bagi pilihan raya kecil itu ialah 3 Oktober sementara tarikh pengundian, jika ada pertandingan, 11 Oktober.

Bagan Pinang mempunyai 13,664 pengundi dan 4,604 adalah pengundi pos.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Azman Mohammad Noor dari Barisan Nasional pada 4 September lepas akibat jangkitan dalam darah. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain