suria

Dua kapal tangki terselamat aripada serangan lanun

SINGAPURA: Dua buah kapal tangki yang berlabuh di selatan Tanjung Ayam di selatan perairan Johor terselamat daripada serangan lanun dalam dua insiden berasingan awal Isnin.

Lanun terbabit gagal naik ke kapal selepas mereka dilihat oleh anak kapal bertugas, yang terus membunyikan isyarat kecemasan, menurut kenyataan Perjanjian Kerjasama Serantau mengenai Memerangi Pelanunan dan Rompakan Bersenjata terhadap Kapal di Pusat Perkongsian Maklumat Asia (RECAAP ISC) di sini.

Dalam kes pertama, sekumpulan lima lelaki cuba menaiki kapal tangki yang didaftarkan di Panama, Pacific Harmony, dari sebuah bot kira-kira 2.40 pagi namun membatalkan rancangan mereka selepas anak kapal membunyikan isyarat kecemasan sebaik ternampak mereka.

Dua daripada lanun terbabit menggunakan sebatang kayu yang dipasang pencangkuk untuk menaiki kapal tangki itu dari geladak kekota, kata ReCAAP.

Kira-kira dua jam kemudian iaitu pada 4.45 pagi, kumpulan lanun lain terdiri daripada enam lelaki bersenjatakan pisau panjang cuba menaiki sebuah kapal tangki kimia yang didaftarkan di Malaysia, MMM Kingston, dari sebuah bot laju.

Dua lelaki cuba naik ke atas kapal tangki itu menggunakan pencangkuk manakala empat lagi lelaki menunggu dalam bot laju mereka.

Bagaimanapun, anak kapal yang ternampak lelaki itu, terus memaklumkannya kepada pegawai bertugas yang kemudian membunyikan hon kabus dan mengumpulkan semua anak kapal yang lain.

Menyedari bahawa anak kapal diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga, lanun terbabit terjun ke laut dan melarikan diri menggunakan bot laju mereka, kata pusat berkenaan.

ReCAAP berkata kedua-dua insiden itu masing-masing merupakan kes kelima dan keenam yang berlaku di kawasan berkenaan sejak Januari tahun ini. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain