suria

Seorang lelaki ditahan ketika cuba meragut

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki diberkas kerana cuba meragut beg tangan seorang wanita yang sedang makan di sebuah restoran di Taman Midah, Cheras, awal pagi Jumaat lepas.

Dalam insiden 3 pagi itu, suspek berumur 23 tahun itu dikatakan datang ke restoran berkenaan bersama dua lagi lelaki dengan menaiki dua buah motosikal dan bertindak meragut beg tangan wanita itu yang sedang makan bersama suaminya.

Suami mangsa yang berang melihat perbuatan itu kemudian bertindak mengejar suspek dan berlakulah bergelutan antara mereka.

Ketua Polis Daerah Cheras ACP Ahmad Amir Mohd Hashim dalam sidang media di pejabatnya hari ini berkata suspek yang cuba melarikan diri ketika bergelut itu bagaimanapun diberkas oleh dua anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang kebetulan sedang membuat rondaan di kawasan berkenaan.

Beliau berkata suami mangsa, yang mengalami kecederaan ringan di bahagian lutut akibat pergelutan berkenaan, berjaya mendapatkan semula beg tangan isterinya.

"Dua lagi rakan suspek yang berumur lingkungan 20an sempat melarikan diri dan polis sedang giat mengesan mereka. Suspek direman bermula dari tarikh ditangkap hingga hari ini," katanya.

Polis tidak menolak kemungkinan ketiga-tiga suspek berkenaan aktif melakukan jenayah ragut di sekitar Cheras sejak dua bulan lepas, katanya.

Sementara itu, Mohd Amir berkata penduduk sekitar Cheras yang akan meninggalkan kediaman masing-masing untuk pulang ke kampung halaman sempena Hari Raya Aidilfitri ini diminta untuk mengisi borang pemberitahuan yang disediakan di balai-balai polis.

Katanya langkah itu didapati berkesan bagi mengurangkan kejadian jenayah di daerah itu.

Beliau berkata pemilik rumah hanya perlu mengisi beberapa butiran penting dalam borang itu bagi membolehkan urusan kawalan dan pemantauan dibuat di rumah mereka.

"Isikan tarikh bila anda (orang ramai) akan pulang ke kampung dan bila anda akan kembali semula ke rumah masing-masing.

"Dengan cara itu kita boleh mengetahui waktu anda tiada di rumah dan memudahkan polis untuk membuat rondaan," katanya.

Orang ramai juga boleh memaklumkan ketiadaan mereka dengan menaip POLISKL BK (alamat rumah) (tarikh bercuti) dan hantarkan ke 32728 atau hubungi hotline Rakan Cop Kuala Lumpur di talian 0321159999. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain