suria

Pucuk pimpinan belum terima senarai calon

SHAH ALAM: Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini berkata pucuk pimpinan parti belum lagi menerima senarai rasmi calon-calon yang bakal bertanding untuk pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang, Negeri Sembilan.

"Mereka belum lagi menghantar secara rasmi. Saya baru saja baca dalam surat khabar yang anda laporkan, kami belum terima senarai rasmi," katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas bakal calon Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil itu.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata demikian selepas melawat Pasar Tani anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) sempena sambutan Aidilfitri di sini hari ini.

Muhyiddin berkata keputusan mengenai calon BN akan diumumkan oleh pucuk pimpinan selepas Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan tarikh penamaan calon dan pilihan raya kecil itu nanti.

Justeru, pihak-pihak tertentu diminta supaya jangan banyak sangat membuat spekulasi mengenai bakal calon BN yang akan bertanding.

Pilihan raya kecil itu akan diadakan berikutan kematian penyandangnya Azman Mohammad Noor,54 daripada Barisan Nasional (BN) Jumaat lepas akibat jangkitan kuman dalam darah.

Akhbar sebelum ini melaporkan kesemua 33 Anggota Jawatankuasa Umno Bahagian Teluk Kemang telah sebulat suara menamakan ketuanya, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad sebagai calon BN dalam pilihan raya kecil itu.

Hari ini, Isa pula dilaporkan sebagai berkata Umno Teluk Kemang akan mengikut amalan biasa dengan menyenaraikan tiga nama dan akan dihantar kepada pucuk pimpinan parti minggu depan.

Ditanya mengenai keputusan Pemilihan MIC semalam, Muhyiddin berkata:"Ini adalah keputusan yang telah dibuat oleh perwakilan MIC sebagaimana biasa keputusan telah dibuat dan semua pihak menerima keputusan itu."

Muhyiddin berkata BN mengharapkan sebagaimana telah disebutkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, barisan kepimpinan ini yang terpilih akan bekerja keras untuk mengembalikan sokongan masyarakat India kepada parti itu.

"Oleh sebab itu, barisan yang ada ini mempunyai tanggungjawab untuk memperkukuhkan kepimpinan dalam MIC biasanya yang menang tak menang semua yang kalah bukan kalah semua," katanya.

Muhyiddin berharap pimpinan baru MIC memberi perhatian serius kepada saranan Perdana Menteri bahawa mereka perlu membawa kemenangan kepada BN di dalam pilihan raya nanti.

"Saya percaya mereka sedar dalam pilihan raya lepas kita sebahagiannya tidak mendapat sokongan daripada rakyat dan Perdana Menteri telah memberikan ingatan yang cukup kuat semalam supaya parti-parti komponen, bukan sahaja MIC, supaya membuat transformasi. Lebih cepat dilakukan lebih baik," katanya.

Berdasarkan analisis keputusan pilihan raya lepas, sebahagian pemimpin MIC tewas dan itu merupakan isyarat yang jelas di mana rakyat tidak memilih seseorang itu atas dasar dia pemimpin di dalam BN tetapi mereka melihat sama ada pemimpin itu berwibawa atau tidak, katanya.

Mereka juga harus segera merapatkan barisan selepas pemilihan ini kerana cabaran besar menanti mereka selepas ini, katanya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata beliau berharap pihak berkuasa tempatan dapat menyediakan lebih banyak lagi tapak untuk pasar tani supaya pemasaran hasil pertanian secara terus dari ladang dapat ditingkatkan dan memberi lebih peluang kepada para petani untuk berniaga.

Dengan adanya pasar tani, ini akan dapat memastikan bekalan makanan dapat disalurkan dengan tetap kepada pengguna apatah lagi jika pasar tani dapat diadakan di dalam bangunan kekal sebagaimana di negara-negara maju.

Daripada hasil tinjauan di Pasar Tani hari ini, Muhyiddin berkata beliau mendapati harga barang-barang yang dijual oleh para petani adalah berpatutan.

Selain daripada melawat gerai-gerai di Pasar Tani, Muhyiddin dan isteri Puan Sri Norainee Abdul Rahman sempat menyampaikan bantuan Hari Raya kepada warga emas dan penghuni-penghuni Runah Anak Yatim Amal Kasih, Subang dan Rumah Anak Yatim Limpahan Kasih, Puchong. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain