suria

Palanivel gesa pemimpin-pemimpin MIC rapatkan barisan

KUALA LUMPUR: Timbalan presiden MIC Datuk G. Palanivel, yang berjaya mempertahankan jawatannya dalam pemilihan parti itu hari Sabtu menggesa para anggota, perwakilan dan pemimpin merapatkan barisan selepas berlalu tempoh kempen yang sengit selama 20 hari untuk merebut jawatan parti.

"Kita adalah satu pasukan yang perlu sentiasa bersatu...tidak harus ada percakaran sesama kita dalam parti," kata beliau setelah diisytiharkan menang dalam pertandingan jawatan timbalan presiden di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini.

Palanivel mengalahkan bekas timbalan presiden Datuk S. Subramaniam dan naib presiden yang berundur Datuk S. Sothinathan dengan majoriti 82 undi.

Sambil mengucapkan terima kasih kepada perwakilan yang mengundi beliau, bekas timbalan menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu berkata kemenangannya adalah kerana perwakilan menaruh kepercayaan terhadapnya.

"Kemenangan ini adalah juga kerana saya sering menekankan perpaduan di kalangan anggota. Ini dihargai oleh perwakilan," tambahnya.

Sementara itu, tiga "calon pilihan" presiden parti Datuk Seri S. Samy Vellu turut menang dalam perebutan jawatan naib presiden.

Mereka ialah Menteri Sumber Manusia Datuk Dr. S Subramaniam, timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk S.K. Devamany, dan timbalan menteri Wilayah Persekutuan Datuk M. Saravanan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain