suria

MIC akan berkecai jika berundur sekarang, kata Samy Vellu

KUALA LUMPUR: Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu berkata, parti itu akan 'berkecai' jika beliau meninggalkan parti itu sekarang, selepas berakhirnya pemilihan jawatan Timbalan Presiden hari ini.

"Saya sudah pun mengatakan yang ini akan menjadi penggal terakhir tetapi saya tidak mahu mengatakan yang saya akan tinggalkan pagi esok, petang esok sebab anda kena ingat apabila saja saya mengatakan yang saya akan tinggalkan dalam tempoh lima hingga enam bulan akan datang, MIC sudah 50 peratus musnah.

"Saya boleh tinggalkan jawatan Presiden esok... tapi parti akan menjadi tidak stabil. Sekarang pun sudah ada kumpulan samseng, beribu-ribu samseng sudah masuk ke bangunan ini (PWTC hari ini)," kata beliau ketika ditemui wartawan di pusat media di PWTC pada hari pertama Perhimpunan Agung MIC Ke-63 petang ini. Samy Vellu yang mempertahankan jawatan Presiden buat penggal ke-11 April lalu berkata, beliau boleh memberikan laluan kepada Datuk G. Palanivel jika menang agar menerajui MIC selama enam bulan.

"Saya boleh beri Palanivel tempoh enam bulan menerajui parti jika menang, biar tengok apa yang boleh lakukan oleh beliau (Palanivel), saya boleh lakukannya," kata Samy Vellu yang menyokong Palanivel supaya mempertahankan jawatan Timbalan Presiden MIC.

Samy Vellu juga menambah, jikapun beliau meminta barisan baru yang terpilih sama ada bersedia mengambil alih pucuk kepimpinan berkuat kuasa esok, mereka akan mengatakan tidak harus berbuat demikian.

"Saya boleh tanya mereka di depan anda, saya akan tanya mereka pagi esok bahawa saya akan meletakkan jawatan, adakah anda boleh mengambil alih parti, mereka akan kata tidak, tidak," katanya.

Ketika ditanya sama ada akan membuat pengumuman mengejutkan bahawa akan menyerahkan pucuk kepimpinan esok, Samy Vellu berkata, "tidak."

"Tidak. Tidak ada perkara sedemikian," kata beliau lagi.

"Saya akan membuat pengumuman pada masa yang sesuai," katanya lagi.

Dalam pada itu, Samy Vellu memberitahu. prestasi Barisan Nasional (BN) pada hari ini bukan disebabkan masyarakat India membenci MIC, tetapi kerana perasaan benci masyarakat India terhadap perikatan tersebut.

"Saya tidak takut untuk mengatakan perkara ini, saya berani untuk bercakap... saya berani berhadapan dengan sesiapa untuk bercakap ini," kata bekas Menteri Kerja Raya ini.

Beliau berkata, sejak kebelakangan ini ada pandangan mengatakan prestasi buruk BN pada pilihan raya umum ke-12 Mac 2008 disebabkan perasaan benci masyarakat India terhadap MIC.

Malah kata beliau, ada pihak termasuk bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad mengatakan bahawa MIC tidak mengemukakan apa-apa tuntutan berkaitan kepentingan masyarakat India kepada kerajaan semasa kepimpinannya.

"Saya ada bukti segala syor, resolusi yang dikemukakan kepada kerajaan. Saya ada banyak dokumen, saya boleh buat pameran tentang dokumen-dokumen ini," katanya.

Berhubung syor Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razal pagi tadi, Samy Vellu berkata, parti itu akan mengambil ikhtibar amanat beliau.

"Ucapan beliau pada peringkat kelihatan tak begitu OK, tapi kandungan peringkat akhir OK... saya akan dengar apa yang dikatakan oleh beliau (Najib) kerana beliau pemimpin kita," katanya. Sebagai permulaan, kata beliau, MIC akan memulakan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) parti itu di peringkat negeri bagi mengukuhkan serta menguatkan sokongan akar umbi terhadap BN. Najib yang juga Pengerusi BN pada majlis perasmian itu turut mengingatkan semua pemimpin parti komponen BN bahawa tidak guna menjadi popular di kalangan anggota parti sahaja tetapi tidak popular di kalangan rakyat sehingga menyebabkan kehilangan sokongan pada Mac 2008.

Najib berkata, dalam sistem demokrasi berparlimen, suara keramat ialah suara rakyat dan kuasa mutlak adalah di tangan rakyat dan mereka yang akan menentukan nasib BN dalam setiap pilahan raya umum.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain